Singapura Nafi Laporan Pekerja Malaysia Merempat Di Negara Itu

- Advertisement -

SINGAPURA — Kementerian Tenaga Kerja Singapura (MOM) menafikan dakwaan terdapat lebih daripada 100 rakyat Malaysia yang merupakan pemegang pas kerja di Singapura, kini merempat kerana tidak mampu untuk menyewa bilik mahupun katil.

Kementerian itu merujuk kepada satu artikel bertajuk ‘Homeless Malaysians in Singapore’ yang disiarkan akhbar The New Straits Times (NST) pada 22 November, menerusi temu bual seorang rakyat Malaysia Shahruddin Hael Helmy Mohd Noh.

Berikutan laporan itu, MOM menyatakan mereka telah bertemu Shahruddin pada 23 dan 27 November bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan dakwaan beliau, supaya kementerian itu dapat memberikan bantuan yang perlu, kepada pekerja terbabit.

Bagaimanapun MOM menyatakan, yang lelaki itu gagal untuk memberikan maklumat tepat seperti nama dan maklumat hubungan pekerja Malaysia yang merempat itu, seperti yang telah didakwa beliau.

“Beliau akui yang dia tidak pernah bercakap secara terus dengan mana-mana pekerja terbabit dan tidak dapat mengesahkan yang mereka sebenar-benarnya merempat.

“Beliau tidak kenal mana-mana pekerja Malaysia yang tidak mempunyai tempat tinggal dan juga menyatakan yang beliau tidak memberitahu wartawan NST yang ‘lebih 100 rakyat Malaysia di Singapura merempat,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini.

Menurut MOM, Kerajaan Singapura mempunyai satu Pasukan Petugas antara Agensi, yang menjalankan pemeriksaan rutin dan memeriksa di pelusuk pulau dan jika menemui mana-mana orang yang merempat, mereka akan dirujuk kepada agensi berkaitan untuk diberikan bantuan.

Pasukan Petugas itu terdiri daripada pegawai MOM, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dan juga pasukan Polis Singapura.

“Sebagai sebahagian daripada pemeriksaan rutin, pegawai terbabit telah pergi ke pelbagai lokasi di pulau itu sehingga lewat malam pada 26 November, termasuk kawasan yang disenaraikan oleh Shahruddin. Namun kami tidak menemui mana-mana pemegang pas kerja yang tidur di tepi jalan.

Pekerja yang ditemui tidur di tempat terbuka, termasuk pemegang pas kerja, akan diberikan bantuan dan majikan mereka akan diminta menyediakan penginapan dengan segera atau Pusat Pekerja Asing (MWC) akan menempatkan mereka di tempat mereka, jika majikan tidak dapat melakukannya,” menurut MOM.

MOM juga telah telah berhubung dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) untuk memaklumkan mana-mana pemegang pas kerja yang ditemui merempat.

MOM menyatakan, dalam beberapa bulan lepas, mereka tidak menerima sebarang rujukan daripada NGO-NGO terbabit.

Kementeria itu mengingatkan para majikan mengenai tanggungjawab mereka terhadap pekerja asing mereka dan perlu memastikan yang mereka mempunyai penginapan yang sesuai ketika tinggal di Singapura.

Kenyataan itu menyatakan, orang awam yang mengetahui mana-mana pemegang pas kerja yang menghadapi masalah penginapan, perlu merujuk mereka kepada MOM atau MWC menerusi talian ‘hotline’ 24 jam pada nombor 6536 2692 untuk bantuan selanjutnya. — Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat