‘Feel’ kampung ke layar perak

- Advertisement -

SELEPAS kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, pengasas Zebra Studio dan pengarah, CL Hor yang kini tampil dengan filem dialek Negeri Sembilan, Gadis Jolobu The Movie optimis filem itu bakal menerima sambutan luar biasa di pawagam.

CL Hor berkata, dia mempunyai keyakinan tinggi apabila filem memaparkan keunikan adat dan budaya Malaysia mampu berdiri setanding dengan filem genre lain.

“Gadis Jolobu mengangkat adat dan budaya yang berwarna-warni dengan sinematografi persekitaran kampung. Malah, elemen komedi akan menambahkan perisa memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

“Jujurnya, saya sudah lama mahu menghasilkan filem budaya tempatan sebab saya selalu melihat Malaysia mempunyai banyak tarikan lokasi yang cantik.

“Menerusi filem ini saya berpeluang menjayakan penggambaran di kawasan kampung untuk membawakan ‘feel’ kampung ke layar perak, sekali gus memperkenalkan lokasi Malaysia untuk penonton luar,” katanya.

Projek mega dimeterai syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd itu diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud serta memperkenalkan bintang baharu yang juga pengacara, Ahirine Ahirudin.

Walaupun berbangsa Cina, CL Hor mengakui tidak berdepan kesukaran untuk memahami dialek Negeri Sembilan selepas membaca skrip berulang kali.

“Saya membaca skrip berulang kali dan penulis skrip juga ada melakukan terjemahan. Jadi, tidak susah untuk difahami.

“Namun di sebalik dialek, saya juga banyak menggunakan bahasa tubuh supaya ia lebih mudah difahami penonton. Jadi, jika tak faham bahasa pun penonton boleh ketawa melihat gelagat pelakon,” katanya.

Melihat banyak wajah baharu menerusi filemnya, CL Hor menjelaskan, hasrat untuk memberi peluang kepada pelakon baharu selaras dengan wawasan Zebra Studios Sdn Bhd yang mahu mengetengahkan bakat baharu.

“Saya bertuah mempunyai penerbit dan rakan kerja yang percaya kepada saya untuk mengetengahkan bakat baharu. Industri perfileman Malaysia patut memberi peluang kepada pelakon muda.

“Jangan melihat pelakon popular seperti Datuk Adi Putra saja yang mampu mengangkat filem tempatan. Jadi, saya mengambil risiko dan percaya boleh melatih bintang baharu menjadi pelakon lebih baik.

“Saya gembira melihat hasilnya menerusi filem Gadis Jolobu The Movie. Semua orang suka melihat lakonan bakat baharu dalam filem ini,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif, Saraleana Nattaya Azmi berkata, pihaknya juga merancang untuk melakukan wayang pacak filem Gadis Jolobu The Movie sekitar Negeri Sembilan, September depan selepas tayangan di pawagam.

Saraleana berkata, filem itu dihasilkan bagi menggamit semula memori filem komedi arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang sehingga kini masih segar dalam ingatan penonton.

“Kami mahu bawa balik filem P Ramlee seperti nyanyian dalam filem. Menerusi filem Gadis Jolobu The Movie, kita boleh lihat sisi Hattan yang berbeza, daripada lantang bersuara, beliau menyanyi dan melawak.

“Walaupun Gadis Jolobu The Movie mengetengahkan dialek tempatan, tetapi kami berhasrat membawanya hingga pasaran global. Selepas tayangan di Malaysia, Gadis Jolobu The Movie akan dibawa ke Brunei, Indonesia dan Thailand.

“Saya percaya Gadis Jolobu The Movie mampu menarik perhatian orang luar dan tempatan lebih menghargai kecantikan Malaysia.

“Kami menghasilkan filem dialek untuk membawa kandungan tempatan ke peringkat global. Jadi, mengapa CL Hor banyak mengetengahkan sinematografi cantik dengan memperlihatkan kawasan kampung dan sawah padi sebab apabila filem ini ditayangkan di Thailand dan Brunei, mereka boleh melihat kecantikan lokasi di Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran kutipan, Saraleana berkata, pihaknya tidak meletakkan harapan tinggi biarpun filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan meraih kutipan lebih RM90 juta.

“Insya-Allah, Gadis Jolobu The Movie ada potensi, tetapi sebagai penerbit, saya tidak mahu mengatakan filem ini boleh mencapai angka besar.

“Bohong jika tidak mengharapkan Gadis Jolobu The Movie pecah panggung, namun tidak meletakkan harapan meraih kutipan puluhan juta.

“Saya tahu ramai mungkin membandingkan dengan filem Mat Kilau, tetapi genrenya berbeza. Bajetnya pula lebih rendah sebanyak RM2.5 juta,” katanya.

Gadis Jolobu The Movie menjalani penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan pada 2 Mac lalu. Ia memaparkan kisah tiga bujang terlajak yang rapat sejak kecil dalam usaha mencari jodoh di kampung halaman.

Gadis Jolobu The Movie menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara hari ini, manakala platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY tidak lama lagi.

Harian Metro

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat