10 pengarah ‘junior’ setahun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Enggan berpeluk tubuh tanpa memikirkan kelangsungan industri kreatif tempatan, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) memperhebatkan usaha melahirkan generasi pelapis sutradara dengan sasaran melahirkan 10 pengarah muda setiap tahun.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim, berkata Program Pemantapan Ahli Amatur yang dilancarkan sejak tahun lalu menjadi saluran bagi persatuan itu melahirkan pengarah generasi baharu yang memenuhi kehendak pasaran filem dan industri kreatif semasa.

“Kumpulan pertama generasi pengarah muda berjaya dilahirkan melalui program persatuan. Malah, dilihat sejak akhir 2019 jumlah ahli amatur FDAM meningkat.

“Buat masa ini, kita ada kira-kira 400 ahli di seluruh negara. Mereka datang dari pelbagai latar belakang seni, kerjaya dan platform termasuk kalangan YouTuber, TikToker, pelakon, peniaga, pengarah indie dan graduan.

Sebahagian pelakon filem sulung garapan tiga sutradara muda berjudul Misteri Hutan Tok Kepak yang sudah memulakan penggambaran di Pendang, Kedah, minggu lalu. Foto Ihsan FDAM
Sebahagian pelakon filem sulung garapan tiga sutradara muda berjudul Misteri Hutan Tok Kepak yang sudah memulakan penggambaran di Pendang, Kedah, minggu lalu. Foto Ihsan FDAM

 

“Biarpun mereka tidak mempunyai pengalaman mengarah filem, kita nampak kesungguhan untuk merealisasikan sesuatu projek,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat London akur dalam setiap projek direncanakan persatuan pasti berdepan cabaran.

“Semestinya cabaran utama kami adalah memilih ahli amatur FDAM yang berpotensi dan berminat dalam kerja pengarahan.

“Pemilihan dan penapisan dilakukan melalui temu duga intensif dalam kalangan 200 ahli amatur yang dipilih. Mereka dibahagi kepada empat kumpulan. Ini bermakna dalam sebuah kumpulan ada 50 orang.

“Setiap kumpulan diberi pendedahan dalam industri dan mereka berpeluang menjalani latihan amali di lapangan secara profesional dan komprehensif,” katanya.

Ahmad berkata, sekalipun dunia dilanda COVID-19 sejak dua tahun lalu, FDAM terus menawarkan peluang latihan kepada pengarah amatur.

“Latihan dibuat dalam talian dan jika bersemuka, tidak lebih 10 orang di pejabat FDAM. Aspek pembelajaran latihan teori diberi mengikut sukatan pengajian dirangka persatuan.

“Dalam latihan ini, kita memberi ilmu dalam setiap aspek kerja produksi dalam konteks budaya kerja di Malaysia. Elemen pengurusan membina jati diri seperti pemikiran kritikal, kreatif, analitikal dan kepemimpinan juga diterapkan.

“Latihan intensif setiap bulan selama dua tahun melengkapkan mereka dengan ilmu produksi hingga sampai masanya mereka diberi tugasan sebenar,” katanya.

Justeru, FDAM merancang menerbitkan empat telefilem dan empat filem kepada empat kumpulan pengarah amatur terbabit.

“Objektif utama FDAM melahirkan 10 pengarah muda setiap tahun sudah mendapat restu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid memberi galakan dan nasihat dalam menjayakan projek ini. Tidak ketinggalan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim juga memberi sokongan.

“Usaha FDAM ini dianggap selaras inisiatif pembangunan filem nasional selari dengan inspirasi FINAS,” katanya.

Ketika ini, projek filem pertama yang dikendalikan sutradara muda iaitu Misteri Hutan Tok Kepak sudah memulakan penggambaran di Pendang, Kedah, minggu lalu.

Projek perintis filem Misteri Hutan Tok Kepak menyaksikan tiga sutradara muda bekerjasama menghasilkan filem genre seram itu di bawah pemantauan pengarah, Datuk Zulkeflie M Osman.

Tiga sutradara amatur terbabit adalah Khairul Azizi, Rayyan Danish dan Asrul Nizam.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat