Pelabur Lari: Malaysia Gagal Kembalikan Kegemilangan Harimau Asia Gara-Gara Langkah Sheraton – Hassan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Era kegemilangan Malaysia sebagai Harimau Asia ‘ditimbus’ Langkah Sheraton,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Kata beliau, misi Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara pada Mei 2018 lalu adalah untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia sebagai Harimau Asia, yang memudar lewat skandal kewangan terbesar dunia 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Dalam 5 tahun PH berjanji akan mengembalikan status kuasa ekonomi di Asia meninggalkan Indonesia, Vietnam dan sekali lagi bersaing menghadapi Singapura.

“Namun malangnya, Langkah Sheraton memancung wawasan berkenaan pada Februari 2020 akibat beberapa pimpinan PH takut masuk penjara akibat salahlaku dan telah merobek harapan 32 juta rakyat negara ini,” katanya memetik Suara Keadilan.

Bagi Hassan, detik Mac 2020 dan tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan permulaan malapetaka ekonomi apabila satu demi satu pelabur antarabangsa meninggalkan Malaysia akibat hilang keyakinan ke atas sistem pemerintahan yang kronik.

“Bermula dengan Syarikat gergasi Korea Selatan, Hyundai menutup ibu pejabat wilayah rantau Asia Pasifik di Malaysia dan berpindah ke Indonesia, negara ini terus kehilangan pelaburan langsung asing (FDI) selepas itu.

“IBM satu lagi syarikat gergasi dunia menutup Pusat Penyampaian Global miliknya di Cyberjaya dan berpindah ke Singapura.

“Kemudian Syarikat minyak global Shell buat hal sama. Shell sudah hilang percaya pada Malaysia. Ia memindahkan operasinya dari Cyberjaya ke India. Cyberjaya tidak lagi berjaya, jadi Cybergagal.

“Syarikat-syarikat pelaburan asing terus hilang kepercayaan terhadap sistem politik, masa depan ekonomi dan taraf korupsi yang tidak terkawal.

“Seterusnya Citigroup, kumpulan perbankan besar memutuskan urusan retail banking miliknya yang beroperasi di Malaysia selama 60 tahun berhijrah ke Singapura,” ujar Hassan.

Untuk menambah buruk situasi itu, tambah beliau, Syarikat IT Jerman iaitu T-System telah menjual perniagaannya di Malaysia dan melabur di negara lain.

“Apa kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul dalam hal-hal ini? Ambil sikap membisu dan berdiam diri sahaja.

“Dalam dunia kereta motor, menuju industri membina kereta elektrik, Malaysia terlepas apabila Toyota Motor Corp melabur AS$2 bilion membangunkan kenderaan elektrik EVs di Indonesia. Malaysia tidak lagi ada daya tarikan FDI. Malaysia hilang dari radar peniagaan antarabangsa.

“Zoom Video Communications juga memilih Singapura bukannya Malaysia sebagai pusat R&D dan Pusat Data Baru bagi rantau Asia Tenggara. Malang sungguh nasib Malaysia di bawah kerajaan sekarang ini,” sinis Hassan.

Tegas beliau, Malaysia hilang dalam peta niaga dunia dalam tiga tahun pemerintahan kerajaan PN dan BN. Katanya, Facebook, Lazada, Tencent, ByteDance, Alibaba tergamak tidak menghiraukan Malaysia dan memilih Singapura menjadi hub serantau bagi pusat strategik dan pusat data mereka.

Hal itu, menurut Hassan tidak berlaku pada 1990an apabila sebahagian besar syarikat telekomunikasi dunia memindahkan operasi dari Singapura ke negara ini bagi mengambil insentif yang ditawarkan Multimedia Super Corridor hub digital pertama seumpamanya di Asia.

“Namun dengan Google dan Facebook baru baru ini memingkirkan Malaysia dalam laluan projek berbilion ringgit kabel internet dasar laut sepanjang 12,000 kilometer kerana dasar kabotaj negara, maka Malaysia telah menjadi negara gagal sesungguhnya yang sukar untuk bangkit lagi memberi persaingan kepada kuasa kuasa baharu ekonomi seperti Indonesia, Vietnam dan India,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat