Wakil Sabah Dipinggirkan Dalam Kabinet Anwar, Kata Arthur

- Advertisement -

CYBERJAYA: Wakil rakyat Sabah dipinggirkan dalam senarai Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Menurut Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup, wakil rakyat Sabah hanya mendapat dua jawatan menteri sahaja dan ia sangat tidak seimbang berbanding 21 jawatan menteri termasuk Perdana Menteri dan satu Timbalan Perdana Menteri oleh parti di Semenanjung serta enam menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak.

Sedangkan, kata Arthur, sebanyak 24 daripada 25 Ahli Parlimen Sabah menyokong Kerajaan pimpinan Anwar dengan tujuh daripada BN Sabah menjadi menyumbang kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan yang ada kini.

“Malangnya, Sabah hanya diberi dua Menteri dan tiada seorang pun dari BN Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Arthur menjelaskan, Sabah amat memerlukan lebih banyak pembangunan dan perwakilan dari negeri di bawah bayu itu.

Justeru, beliau berharap, dengan kekurangan menteri dari Sabah, ia bukanlah isyarat bahawa kebajikan dan pembangunan rakyat di negeri itu akan diketepikan kerajaan.

Ini kerana, semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir pada 2018, banyak projek pembangunan dikurangkan serta ditangguh.

“Kami berharap, perkara seperti ini tidak akan berulang lagi dalam kerajaan baharu ini.

“Sabah memerlukan lebih banyak pembangunan, lebih banyak bantuan untuk rakyat dan lebih banyak perwakilan dalam kerajaan supaya kita boleh setanding dengan Semenanjung,” ujarnya lagi.

Semalam, Anwar mengumumkan senarai Jemaah Menteri di bawah pimpinannya.

Kabinet baru Kerajaan Persekutuan menyaksikan Sabah diberi dua portfolio kementerian dengan Ewon Benedick dinamakan sebagai menteri pembangunan keusahawanan dan koperasi, dan Datuk Armizan Mohd Ali sebagai menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri.

Pada masa sama, Sarawak diberi lima portfolio kementerian melalui pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai timbalan perdana menteri dan menteri perladangan dan komoditi, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan Tiong King Sing serta Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Pada PRU15, BN Sabah memenangi 7 kerusi parlimen di negeri itu. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meraih enam, PH menang lima, Warisan meraih tiga, bebas (2), manakala Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) kedua-duanya meraih hanya satu kerusi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat