Tiada lagi alasan kali ketiga, Mahkamah Rayuan ingatkan Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak meminda tarikh bagi pelepasan dan pemulangan pasportnya untuk ke Singapura selepas mendapati alasan diberikan bekas Perdana Menteri itu adalah munasabah.

Hakim Datuk Seri Kamaluddin Md Said yang mengetuai panel tiga hakim turut dianggotai Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah, berkata mahkamah tidak sewenang-wenangnya meluluskan permohonan Najib.

Bekas Perdana Menteri memohon meminda tarikh selepas menangguhkan perjalanan bagi membantu jentera parti UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung 20 November depan.

Memetik BH Kamaluddin berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan yang memutuskan untuk tidak membantah permohonan itu berbuat demikian selepas menimbang dan meneliti alasan berkenaan dan mendapati ia adalah munasabah.

Kali ini, katanya, mahkamah juga mendapati terdapat alasan yang munasabah selepas meneliti permohonan dan afidavit sokongan pemohon (Najib) dan disebabkan itu pendakwaan tiada alasan untuk membantah.

“Ia sudah dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan, bukan bermakna responden sewenang-wenangnya tidak bantah. Bagi pihak mahkamah pula, ini kali kedua di mana kali pertama alasan pemohon ialah untuk melawat anak perempuannya yang bersalin di Singapura dan sekarang alasan kedua untuk PRN Melaka.

“Saya mengingatkan kamu bahawa tiada lagi alasan kali ketiga kerana mahkamah akan disalah anggap dan dilihat sewenang-wenangnya beri kelulusan. Jadi mahkamah membenarkan permohonan ini dan pasport hendaklah dikembalikan pada atau sebelum 6 Disember,” katanya.

Terdahulu, peguam, Muhammad Farhan Shafee memberitahu panel, jadual perjalanan Najib ke Singapura terpaksa diubah kerana beliau diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan parti bertindak teratur dan sewajarnya pada PRN Melaka ketika ketiadaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ketika ini mendapatkan rawatan sakit belakang di Jerman.

Beliau berkata, permohonan pihaknya untuk meminda tarikh itu daripada 20 Oktober hingga 22 November kepada 25 Oktober hingga 6 Disember ini sudah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes jenayah dihadapinya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim tidak membantah permohonan berkenaan.

Pada 18 Oktober lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan Najib untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bermula 20 Oktober hingga 22 November ini bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang kini berada di Singapura dan melahirkan anak kedua dua hari lalu.

Menurut afidavit sokongan bagi permohonan meminda tarikh itu, Najib berkata, perancangannya berubah di mana beliau akan bertolak ke Singapura pada 21 November dan pulang ke tanah air pada 5 Disember ini atau lebih awal daripada tarikh berkenaan.
Katanya, pada masa sama, beliau akan memulangkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 6 Disember ini.

Najib menunggu keputusan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan berhubung dana RM42 juta SRC International.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat