Kuwait Airways Sambung Penerbangan Ke KLIA Selepas Tujuh Tahun Terhenti

- Advertisement -

SEPANG – Selepas tujuh tahun digantung penerbangan ke Malaysia, kini Kuwait Airways menyambung semula perjalanan berjadual ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali gus memberi lebih pilihan kepada penumpang untuk terbang ke bumi Asia Barat itu.

Lebih menarik, penerbangan sulung KU409 secara terus dari ibu kota Kuwait City itu turut menyaksikan tempahan hampir 100 peratus termasuk di kelas pertama dan perniagaan.

Ketibaan pesawat Boeing 777-300ER milik syarikat negara itu hari ini turut disambut dengan pancuran air daripada jentera bomba KLIA sebagai tradisi simbolik ucapan selamat datang.

Kumpulan pertama seramai 297 penumpang dan 12 kru itu diraikan Pengurus Kanan Negara Malaysia Kuwait Airways, Ali Alkhuzaiem serta pihak ATS Global Travel & Charter Sdn. Bhd.

Paling unik, mereka juga disambut oleh pemain bola sepak terkenal tanah air, Safee Sali sebagai jemputan khas acara itu yang mengagihkan cenderahati berupa bunga mawar dan coklat.

Menurut Pengerusi ATS Global, Datuk A. Aziz Ahmad, syarikatnya berasa teruja serta berbesar hati apabila dilantik oleh Kuwait Airways sebagai agensi jualan am (GSA) pasaran Malaysia.

“Buat permulaan, penerbangan hanya setiap Isnin dan Khamis namun jika permintaan baik, kekerapan akan ditambah lagi kepada tiga kali seminggu pula,” katanya ketika ditemui pemberita.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pukul 10.45 malam tadi waktu tempatan dan tiba di KLIA pukul 11.45 pagi sebelum balik semula pada 5.30 pagi esoknya.

Penyambungan semula itu menyaksikan kini ada tujuh operator dari rantau Asia Barat ke KLIA temasuklah Saudia, Emirates, Etihad Airways, Oman Air, Qatar Airways dan Turkish Airlines.

Kuwait Airways menggantung penerbangan ke KLIA sejak 2015 lalu dengan para penumpang selepas itu perlu terbang ke Bangkok, Thailand untuk meneruskan destinasi ke Kuwait City.

Syarikat kebangsaan Kuwait itu mula ditubuhkan pada 1953 lalu dan terkenal sebagai antara operator udara patuh syariah yang tidak pernah menghidangkan minuman keras dalam kabin.

Mengulas lanjut, A. Aziz berkata, rancangan penyambungan balik operasi ke KLIA itu sudah pun bermula pada 2018 namun ditangguh sementara susulan isu penularan wabak Covid-19.

“Berdasarkan kajian kami, ramai pelancong dari Kuwait dan negara-negara Asia Barat amat berminat datang ke sini yang akan bantu merancakkan semula ekonomi Malaysia,” jelasnya.

“Jadi, saya yakin penyambungan semula penerbangan Kuwait Airways bakal melonjak imej KLIA sebagai terminal udara pilihan pengembara rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik,” jelasnya. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,479FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat