Negara memerlukan kewarasan bukan ‘poker game’ MT UMNO

- Advertisement -

Hari ini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memanggil satu lagi mesyuarat tergempar Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Kemungkinan besar tujuan dan matlamatnya hanya satu iaitu menjatuhkan kerajaan ini.

Alasan telah dicipta dan akan terus dicipta. Pembohongan telah dilakukan dan akan terus dibuat selagi cita-cita Zahid menjatuhkan Muhyiddin Yassin tidak tercapai.

Hari ini tentulah titah dukacita Tuanku Yang Di Pertuan (YDP) Agong kepada Muhyiddin Yassin akan dijadikan alasan untuk mendesak MKT UMNO membuat keputusan mengarahkan Ahli Parlimennya meninggalkan kerajaan atau berhadapan pemecatan.

Namun usaha Zahid menjatuhkan kerajaan bukan hari ini, bukan semalam, bukan minggu lepas. Sejak September 2020 lagi Zahid sudah mengumpul sokongan untuk menjatuhkan kerajaan ini. Pada Oktober 2020 atas alasan Bersatu tindas UMNO dan ambil jawatan Ketua Menteri Sabah. Pada Mac dan Jun 2021 atas alasan darurat dan penggantungan sidang Parlimen. Hari ini alasan derhaka kepada YDP Agong akan digunakan sebagai alasan.

Alasan-alasan ini berserta penipuan memang boleh mengelabui ahli biasa. Namun untuk ahli MKT UMNO turut sama terjerumus dalam permainan karut Zahid ini sangat menghairankan.

Ahli MKT UMNO perlu sedar sebarang tindakan mereka membawa parti keluar dari kerajaan tanpa persetujuan Ahli Parlimen akan membawa kepada perpecahan parti.

Walaupun MKT adalah pembuat polisi terbesar parti, ia tidak bermakna Ahli Parlimen UMNO perlu menuruti polisi dan keputusan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan negara ketika pandemik ini.

Walaupun Ahli Parlimen Barisan Nasional/ UMNO menang atas tiket parti, namun mereka menang kerana mandat rakyat dan mengangkat sumpah menjaga kepentingan negara. Mereka tidak angkat sumpah menjaga kepentingan Zahid atau MT UMNO.

Justeru sumpah menjaga kepentingan negara dan rakyat harus utama dari keputusan parti.

Siapa Derhaka Raja?

UMNO harus berhati-hati jika mesyuarat yang dipanggil hari ini mahu menjatuhkan Muhyiddin menggunakan isu surat dukacita YDP Agong. Alasan parti tidak seharusnya dilihat menyokong kerajaan derhaka sangat rapuh.

YDP Agong menyatakan baginda berdukacita dengan keputusan kerajaan tidak mengikut titah. Kerajaan pula berpendapat tindakan mereka berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Ia tidak timbul isu derhaka yang bermaksud menentang institusi YDP Agong. Ini hanyalah perbezaan tafsiran Perlembagaan Persekutuan antara eksekutif dan YDP Agong yang lebih banyak berlaku dalam pemerintahan UMNO berbanding sekarang.

UMNO perlu berhati-hati menggunakan isu ini kerana UMNOlah parti paling banyak berbeza pendapat dengan YDP Agong sejak 60 tahun lalu.

Jika perbezaan pendapat ini satu tindakan derhaka bagaimana pula tindakan UMNO mengokestra kejatuhan kerajaan ini? Ia juga boleh dilihat menentang YDP Agong kerana baginda dan Majlis Raja-Raja telah beberapa kali bertitah supaya dijaga kestabilan politik negara ketika pandemik.

Presiden UMNO juga melakukan beberapa perkara yang ‘mislead’ YDp Agong mengenai keadaan politik negara.

Pada Oktober 2020, Presiden UMNO menghantar surat kepada YDP Agong menyatakan UMNO memberi sokongan dan taat setia kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Ini telah didedahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Ini dilakukan tanpa pengetahuan MKT UMNO mahu pun pemimpin tertinggi UMNO yang lain. Apakah penipuan ini bukan satu bentuk penderhakaan kepada Agong?

Pada 11 Jun lalu, Zahid memaklumkan kepada Agong bahawa Ahli Parlimen UMNO akan menarik diri dari kerajaan pada 1 Ogos atau lebih awal. Ini dilakukan sebelum mendapat mandat MKT UMNO dan Ahli-Ahli Parlimen UMNO.

Mesyuarat MKT kemudiannya memutuskan UMNO akan menarik diri dari kerajaan pada 1 Ogos namun Ahli-Ahli Parlimen UMNO bebas mengundi menyokong Muhyiddin Yassin.

Hari ini 3 Ogos belum ada seorang pun anggota kabinet UMNO meninggalkan kerajaan seperti yang disembahkan oleh Zahid kepada YDP Agong.

Apakah ini misdirection ini tidak menderhaka kepada YDP Agong?

Permainan Poker MKT UMNO

MKT UMNO sedang bermain poker atau berjudi. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Inilah perangai sesetengah ahli MKT UMNO. Mereka memperjudikan nasib negara dan rakyat demi kepentingan peribadi.

Negara ini tidak seteruk dan sedaif yang cuba digambarkan oleh Presiden dan bekas Presiden UMNO.

Ya negara ini terjejas kerana pandemik. Namun bukan di sini sahaja. Ia berlaku di seluruh dunia. Jika diambil perbandingan dengan negara-negara jiran dan serantau, malah Eropah, Malaysia tidaklah tercorot atau dianggap negara pariah dalam menangani pandemik Covid-19. Walaupun kita berhadapan sedikit setback dengan varian Delta ini, namun jalan pemulihan sedang berada di hadapan kita.

Ini diakui sendiri oleh Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam mesyuarat MT UMNO yang lepas. Rahman Dahlan, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri menguruskan Unit Perancangan Ekonomi Negara, menyatakan jika UMNO mahu mengambil alih negara ia harus berlaku sekarang.

Mengapa sekarang? Menurut Rahman dalam tempoh 3-4 bulan lagi negara akan mencapai kekebalan kelompok, ekonomi akan pulih dan Muhyiddin akan mendapat nama yang mengharum.

Kesimpulan daripada pandangan Rahman ini ialah negara memang akan pulih dan vaksinasi akan berjaya.

Jadi apa yang MKT UMNO buat sekarang ialah bermain poker atau berjudi. Jika tunggu lagi 5 bulan negara ini akan pulih dan UMNO terpaksa berkongsi kejayaan ini dengan pihak-pihak lain.

Jatuhkan kerajaan sekarang akan memberi peluang UMNO jadi Perdana Menteri.

Perdana Menteri Interim Dari UMNO

Saranan Rahman ini mudah difahami kerana mana-mana parti politik pasti mahu menjadi parti utama memimpin negara. UMNO tidak terkecuali.

Namun Rahman dan beberapa ahli MKT UMNO yang ‘ada otak’ seperti Zambry Kadir, Azalina Othman Said dan Mohamad Hassan telah hilang rasional kerana ditipu Zahid bahawa UMNO akan menjadi Perdana Menteri Interim sekiranya kerajaan ini jatuh. Bagaimana Azalina Othman Said seorang peguam berpengalaman boleh ditipu oleh Zahid sangat mengharu dan menghiburkan.

Tidak ada istilah Perdana Menteri Interim dalam Perlembagaan Persekutuan. Kewujudan terma Perdana Menteri Interim seperti mana yang berlaku selepas Tun Dr Mahathir meletak jawatan ialah merujuk kepada ‘caretaker’.

Apabila Dr Mahathir meletak jawatan, YDP Agong menyatakan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sehingga pengganti beliau dipilih. Ini adalah konvensyen Perlembagaan seperti mana apabila Parlimen dibubarkan, kerajaan sedia ada bertindak sebagai kerajaan interim atau caretaker.

Tidak pernah dalam sejarah dan tiada kuasa fasal dalam Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada YDP Agong melantik sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri dalam tempoh tertentu.

Kuasa budi bicara YDP Agong melantik Perdana Menteri dipandu oleh Perkara 43(2)(b) Perlembagaan yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Pelantikan mana-mana Perdana Menteri akan berkuatkuasa sehingga Parlimen terbubar atau peletakan jawatan atau hilang sokongan. YDP Agong tiada kuasa melakukan pengehadan pelantikan Perdana Menteri enam bulan, setahun, dua tahun.

UMNO bersungguh-sungguh hendak menarik diri dari kerajaan kononnya tidak mahu terpalit dengan kelemahan dan kekurangan kerajaan hari inisangat kebudak-budakkan, seolah-olah jika mereka memerintah ia akan menjadi sempurna dan suci.

Hakikatnya selama berpuluh tahun memerintah UMNO juga tidak dapat lari dari masalah dan tuduhan gagal. Malah UMNO dihumban rakyat dalam PRU lalu.

Menuntut Kewarasan MKT UMNO

Mesyuarat MKT UMNO hari ini tidak seharusnya membenarkan Zahid menunggang parti bagi membantu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Jika UMNO mengarahkan semua Ahli Parlimennya menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin, kerajaan ini akan jatuh.

Calon seterusnya akan menjadi Perdana Menteri ialah Anwar Ibrahim. Beliau menguasai blok Ahli Parlimen kedua terbesar sebanyak 98 orang.

Dalam keadaan Pandemik, YDP Agong tiada pilihan PRU. Lalu pilihan baginda ialah memberi keutamaan kepada Anwar Ibrahim membuktikan beliau ada majoriti.

Hujah Rahman Dahlan bahawa apabila Muhyiddin jatuh parti-parti komponen dalam PN akan memilih calon UMNO sebagai Perdana Menteri sangat dangkal kerana UMNO sendiri tiada calon yang mendapat sokongan sebulat suara dari parti sendiri.

Selebihnya apabila anda bergaduh dengan Muhyiddin dan sejak enam bulan lalu membelasah Azmin Ali, anda akan hilang sebahagian sokongan. Sekarang bergaduh pula dengan Pas dengan membelasah Takiyuddin Hassan.

Jadi di mana UMNO boleh menjadi Perdana Menteri jika Muhyiddin dijatuhkan? Jika jadi Perdana Menteri dengan kerajaan semacam ini juga apakah anda fikir kabilah lain dalam kabinet akan menerima ada sepenuh hati dan tidak mengambil tindakan seperti mana UMNO buat sekarang?

Adakah anda menjangkakan dalam keadaan pandemik ini, YDP Agong akan mengambil masa begitu panjang menunggu siapa calon Perdana Menteri dan terus memberi peluang kepada calon dari gabungan rapuh ini dan mengulangi ketidakstabilan politik?

Justeru mesyuarat MKT UMNO hari ini harus membuat keputusan waras untuk kekal dalam kerajaan ini sehingga akhir penggal atau sekurang-kurangnya sehingga negara ini pulih dari pandemik jika tidak mahu dikeji oleh rakyat terutamanya orang Melayu pada masa hadapan.

Kebimbangan palsu yang cuba diwujudkan oleh MKT UMNO mengenai terpalitnya mereka dengan kelemahan kerajaan boleh sahaja diatasi pada masa akan datang.

Jika di akhir penggal kerajaan ini gagal, UMNO boleh sahaja menjarakkan diri dari kerajaan dengan menggugurkan semua anggota kabinetnya dari calon dalam PRU.

Jika berjaya, UMNO boleh sajaka menumpang kejayaan ini dan meraih populariti dalam PRU akan datang.

Rakyat menuntut kewarasan MKT UMNO agar tidak menjadi kuda tunggangan individu yang terdesak.

Jangan dengar guruh di langit, air dalam tempayan dicurahkan. Hujan belum tentu turun nanti kita juga yang kehausan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat