Kerajaan Tak Mampu Laksana PKP Dua Tahun atau Hingga Vaksin Covid-19 Ditemui

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kawalan kendiri atau self-disciplined patut menjadi kunci kepada usaha membendung penularan wabak Covid-19 apabila kerajaan mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Ismail Sabri Yaakob, kerajaan tidak mampu untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga vaksin Covid-19 ditemui.

Dengan itu, semua rakyat perlu mengambil inisiatif sendiri dalam melaksanakan kawalan kendiri dan membuat pertimbangan terbaik untuk diri dan keluarga masing-masing.

“Kalau tidak perlu keluar maka jangan keluar. Mesti jaga keselamatan diri sendiri. Kita perlu buat keputusan sendiri supaya dapat pastikan diri selamat.

“Pakar-pakar kesihatan dunia menjangkakan vaksin Covid-19 hanya dapat dihasilkan seawal-awalnya dalam masa dua tahun dan ini bermakna, bahaya ini akan berada di sekeliling kita (selagi vaksin belum ditemui).

“Tidak mungkin kerajaan boleh melaksanakan PKP selama dua tahun.

“Bila kerajaan memberi ruang kepada peniaga-peniaga kecil untuk beroperasi, kita sebenarnya memahami masalah kewangan mereka yang sangat teruk akibat PKP dan wabak ini.

“Jadi orang ramai pula, perlu memastikan keselamatan diri sendiri dijaga,” katanya semasa sidang media harian hari ini.

Ismail Sabri meminta rakyat Malaysia mencontohi rakyat Taiwan yang mempunyai kawalan kendiri yang tinggi sehingga negara tersebut berjaya merekodkan kematian terendah akibat Covid-19 dan juga kadar kes positif antara terendah di dunia.

Katanya, amalan rakyat Taiwan yang sangat berdisplin dengan memastikan mereka memakai topeng muka ketika keluar, kerap membasuh tangan serta menjaga penjarakan sosial menyebabkan kes positif Covid-19 di negara itu sangat sedikit.

“Kalau di sini, ada ibu-ibu yang mahu bawa anak keluar maka tanyalah diri sendiri, apakah perlu bawa anak tersebut keluar? Apakah anak-anak tersebut selamat?

“Kawalan kendiri ini amat penting.

“Ianya lebih penting daripada undang-undang kerana apabila kerajaan buat undang-undang, rakyat boleh langgar tetapi kawalan kendiri datang daripada diri individu itu sendiri,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai keputusan beberapa kerajaan negeri yang tidak mengikut langkah Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan PKPB esok, Ismail Sabri berkata, perkara tersebut bukanlah satu kesalahan.

Katanya, perkara tersebut telah diputuskan dalam satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri dan turut dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri yang mana setiap negeri dibenarkan untuk membuat keputusan sendiri berdasarkan keperluan masing-masing asalkan masih dalam ruang lingkup SOP yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan.

“Contohnya, kita benarkan premis perniagaan dibuka sehingga jam 10 malam tetapi di kawasan saya di Bera, Pahang, pukul 10 malam sudah tiada pelanggan. Maka peniaga akan tutup perniagaan mereka pada jam 8 malam. Itu tidak menjadi kesalahan.

“Jangan pula, kita arahkan tutup pukul 10 malam tetapi mereka masih berniaga sehingga jam 12. Itu sudah melampaui SOP yang telah ditetapkan,” jelasnya.- MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat