Bermula RM40, tukang jahit berjaya buka bengkel, upah 27 pekerja

- Advertisement -

POKOK SENA – Bermula dengan modal RM40 untuk mengambil upah menjahit baju kurung di kampung pada 2005, tiada siapa menyangka wanita ini kini mampu mencapai pendapatan lebih RM30,000 sebulan.

Siti Hajar Mydin, 56, berkata, kejayaan itu bagaimanapun tidak datang bergolek selepas dia terpaksa melalui pelbagai cabaran termasuk hanya berpendapatan kira-kira RM100 sebulan selepas ada pelanggan yang tidak membayar upah.

Katanya, dia terpaksa bersabar dengan pelbagai kerenah pelanggan sehinggalah pada 2010, dia membuat keputusan untuk membuat pinjamam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM2,000 untuk dijadikan modal menjahit telekung.

“Saya kemudiannya ke Pekan Rabu, Alor Setar dan berjalan dari satu kedai ke satu kedai untuk mempromosi telekung saya, pada mulanya tidak seorang peniaga pun yang berminat sehinggalah seorang kenalan berminat untuk menjual hasil telekung jahitan saya pada 2011.

“Selepas itu saya ke butik-butik pakaian di sekitar Alor Setar. Permulaan, ada yang ambil 10 pasang saja kemudian semakin meningkat sehinggalah saya menambah pinjaman untuk dijadikan modal dan memperbesarkan bengkel jahitan di rumah bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,”katanya yang tinggal di Jalan Kubur Panjang di sini.

Siti Hajar berkata, dia kini sudah mempunyai 27 pekerja dan menjadi pembekal telekung kepada peniaga yang mahu mempunyai jenama sendiri. Katanya, dia turut menerima tempahan dari pelbagai butik seluruh negara dan terbaharu mendapat projek menjahit telekung daripada seorang pereka fesyen tersohor tanah air yang menempah sebanyak 5,000 pasang telekung dan 6,000 pasang kain pelekat dengan projek mencecah RM700, 000.

“Saya kini mempunyai 36 rekaan telekung dengan pelbagai jenis kain mengikut pesanan pelangan Alhamdulillah pelanggan akan berpuas hati dengan produk saya, saya akan pastikan setiap telekung yang dijahit selesa di bahagian muka dan labuh.

“Saya mempunyai pelbagai jenis mesin dan terbaharu adalah mesin berharga RM120,000 yang mampu menjahit rekaan sulaman menerusi perisian yang saya beli, sehingga kini saya masih lagi membuat pinjaman dengan AIM untuk pusingan modal, semuanya saya akan bayar dalam tempoh tiga hingga enam bulan,” katanya.

Ibu kepada seorang anak ini berkata, dia sangat berterima kasih kepada AIM yang banyak membantunya sehingga berjaya ke tahap sekarang.

“Semoga kisah saya dapat menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana. Yang mahu berniaga secara kecil-kecilan, buatlah pinjaman dengan AIM. Asalkan kita ada kemahuan untuk berjaya dan berusaha, kita pasti berjaya," katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat