Cecair Otak Bocor Semasa Ujian Covid-19

- Advertisement -

WASHINGTON: Ujian calitan bahagian dalam rongga hidung terhadap seorang warga Amerika Syarikat (AS) mengundang parah apabila ia menyebabkan kebocoran bendalir otak dan tulang belakang.

Insiden dialami wanita berusia 40-an itu terjadi apabila batang ujian calitan berkenaan menusuk dasar kepalanya sehingga menyaksikan bendalir cerebrospinal keluar dari hidung, sekali gus menyebabkan dia kini berdepan risiko jangkitan otak.

Penelitian awal mendapati proses saringan yang dijalankan terhadap perempuan itu berkemungkinan tidak dijalankan dengan betul, namun pakar berpendapat insiden sedemikian jarang berlaku dan risiko sebarang komplikasi daripada ujian calitan kekal rendah.

Pakar Otolaringologi-Kepala dan Pembedahan Leher dari University of Iowa Hospital, Jarrett Walsh, berkata petugas perkhidmatan kesihatan profesional sewajarnya mengambil langkah berhati-hati ketika menjalankan ujian saringan terhadap pesakit.

Sehubungan itu, katanya, individu yang mempunyai masalah sinus atau pernah menjalani pembedahan dasar kerangka otak sepatutnya memilih untuk mendapatkan saringan secara oral.

“Wanita berkenaan pernah menjalani pembedahan hernia elektif, sebelum dikatakan mengambil ujian calitan di bahagian dalam rongga hidung.

“Dia kemudian sedar bahawa suatu bendalir tidak berwarna mengalir keluar dari salah satu rongga hidungnya.

“Selepas itu, dia mengadu mengalami sakit kepala, muntah, ketegangan di bahagian leher dan alah pada cahaya, sebelum ditempatkan di wad untuk menerima rawatan lanjut di bawah jagaan saya.

“Ujian calitan ini bukan perkara baharu baginya kerana dia pernah menjalani sebelum ini dan dibuat pada belah rongga hidung yang sama, malah tiada masalah.

“Cuma mungkin ujian kali kedua ini tidak dijalankan mengikut teknik terbaik dan batang ujian calitan dimasukkan terlebih dalam,” katanya.

Walsh berkata, gejala yang dialami wanita berkenaan terjadi susulan radang di bahagian selaput otak.

Sekiranya tidak dirawat, beliau berkata dia berdepan risiko kematian daripada jangkitan bakteria yang menular dari rongga hidung ke otak.

“Mujur kita dapat kenal pasti masalah ini menerusi imej lama imbasan yang diteliti semula dan dia sudah sembuh sejak Julai lalu.

“Kebanyakan ujian calitan dibuat dengan meluncurkan batang mengikut dasar hidung yang terletak di lelangit mulut dan tidak menghalakan batang ke atas.

“Walaupun insiden ini terpencil, ia memberi peringatan kepada semua mengenai keperluan latihan berkualiti tinggi, memandangkan ratusan juta lagi ujian calitan akan dijalankan sebelum pandemik ini berakhir,” katanya. – AFP/Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat