Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Program Exsplorasi Merdeka JPWPKL @Muzium di Taman Botani Perdana Dataran Muzium, berjaya mencipta rekod, diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘Most Career Costumes in a Museum Explorace’.
Menerusi kenyataan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada Khamis memaklumkan, rekod baharu itu membabitkan 1,200 pelajar dari 400 buah sekolah, seluruh negara yang menyertai program itu.
Majlis pembukaannya oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh manakala perasmian penutupannya disempurnakan pula oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD JPWPKL, Dr. Hjh. Zalina Mohd Tahir; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A. Kasim; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JMM, Mohamad Shawali Hj. Badi; Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) JMM, Mohd Razaimi Hamat; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPWPKL, Abdul Aziz Md. Hashim, dan Ketua Penolong Pengarah Unit Kejurulatihan Sektor Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Nazar Mamat.
Menurut kenyataan itu, program ini diadakan bagi menerapkan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Berdasarkan kajian, penglibatan individu dalam aktiviti fizikal dapat memberikan banyak manfaat dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani.
“Aktiviti ini merupakan langkah praktikal mengurangkan risiko penyakit kronik, obesiti dan lain-lain dalam kalangan guru dan murid serta dapat memupuk semangat patriotisme bersempena dengan sambutan bulan Kemerdekaan 2024,”katanya.
“Program yang dianjurkan oleh Sektor Pembelajaran JPWPKL bersama JMM bertujuan mengupayakan potensi guru-guru dalam menghasilkan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) kreatif dan inovatif berdasarkan Elemen Merentas Kurikulum (EMK).
“Ianya bagi menarik minat murid terhadap PdP serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui kegiatan riadah dan sukan serta memantapkan kemahiran sosial dan kerja berpasukan dalam kalangan guru dan murid.
“Selain itu, dapat menerokai pembelajaran luar bilik darjah seperti di Muzium Negara, Arkib Negara atau tapak warisan, ”katanya.
“Aktiviti ini juga dapat memperkasakan pendekatan PdP berasaskan inkuiri dalam melahirkan murid-murid yang berfikiran kreatif dan kristis.
Program kali kedua ini diadakan berikutan sambutan hangat yang diterima tahun lalu, melibatkan semua jawatankuasa kerja yang telah dilantik melibatkan JPWPKL dan JMM,”katanya lagi.
“KPM berharap program seperti ini dapat memberi suntikan semangat kepada guru dan murid agar terus gigih menimba ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang walau di mana-mana sahaja mereka berada.
“Muzium turut dijadikan sebagai salah satu institusi yang dapat menyokong sesi memperkaya ilmu pengetahuan, demi melahirkan anak yang baik lagi cerdik (ABC) serta mendokong falsafah insaniah.
“KPM komited meningkatkan kualiti PdP di samping memberi penekanan kepada perpaduan dan semangat cintakan negara,”kata kenyataan itu lagi. – SUARA.TV