PM Saran Semua Negeri Naikkan Had Umur Perkahwinan Daripada 16 Kepada 18 Tahun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan negeri lain supaya mengikut ketetapan baru Negeri Kedah yang menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan Islam daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Berdasarkan Laporan Kewangan Rakyat Ke-109 yang diterbitkan pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu di bawah inisiatif dan institusi Keluarga Malaysia, Perdana Menteri berharap pendekatan yang diambil oleh Negeri Kedah dapat diadaptasi oleh negeri-negeri lain di seluruh Malaysia bagi menangani isu permasalahan Perkahwinan Bawah Umur.

Tegasnya, Pelan Tindakan Menangani Perkahwinan Bawah Umur akan diteruskan dengan yang terkini, Kedah telah menggubal semula undang-undang perkahwinan Islam yang memberikan perlindungan kepada kumpulan rentan dan lemah.

Untuk rekod pada 18 Julai 2022, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam berkaitan had umur perkahwinan dan undang-undang poligami.

Pindaan berkenaan menetapkan had umur perkahwinan bagi perempuan Islam di Kedah dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul memaklumkan pemerkasaan Bajet 2023 lebih inklusif terhadap wanita.

Jelas beliau, Kementerian Kewangan dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) wanita bertanggungjawab menyediakan Gender Responsive Budget (iaitu bajet yang berasaskan data asing jantina) untuk B40 bermula tahun hadapan.

“Inisiatif belanjawan akan mengenal pasti kumpulan sasar dan mengagih sumber mengikut keperluan penerima yang signifikan, seperti ibu tunggal.

“Kerajaan pada masa yang sama akan menambah baik dasar, perundangan serta program yang lebih peka jantina termasuk usaha pembaharuan dalam penyemakan Dasar Wanita Negara dan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) yang prihatin jantina,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga menekankan kepentingan keselamatan terhadap wanita yang telah diketengahkan melalui RUU Anti Gangguan Seksual 2021 yang telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022, manakala RUU Jenayah Intip dan Hendap (Anti-Stalking Law) telah dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos 2022.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat