SHAH ALAM — Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Menurutnya, belum ada mana mana kerajaan sebelum ini melaksanakan perkara dan MA63 akan menjadi teras kepada manifesto PRN yang dijangka diadakan tahun depan.
“BERSATU dan PN bersetuju dengan perkara MA63 yang mengatakan Sabah mesti mempunyai hasil agak serata.
“Orang Sabah yang ada (dalam dewan) sebar luas, ini janji presiden bahawa itu akan kita tunaikan dan laksanakan.
“Perkara lain yang akan dibincangkan adalah sama ada kita bertanding secara solo atau bertanding dengan gabungan parti di Sabah,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Bersatu kali ke-7 di IDCC hari ini.
Muhyiddin berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee yang sebelum itu berkata, tiada satu pun kerajaan persekutuan yang benar-benar menghormati MA63 seperti termaktub dalam perlembagaan khususnya dalam mengembalikan bayaran 40% hasil bersih kepada Sabah setakat ini.
Dalam sidang media selepas itu Muhyiddin berkata, beliau telah menyambut baik ucapan Kiandee berkaitan MA63 dan menambah Sabah
memerlukan hasil pendapatan seperti yang dituntut dalam perlembagaan.
“Tadi dalam ucapan Datuk Ronald kiandee menyentuh tentang soal Sabah. Saya telah pun segera menyambut apa yang telah pun disebutkan tadi melaksanakan apa yang ada dalam MA63.
“Dan di dalam PRN Sabah ke depan, ini akan menjadi satu daripada teras.
“Ini janji kita dalam manifesto PRN Sabah nanti.
“Kami dalam Bersatu dan saya akan Perikatan Nasional bersetuju dengan perkara itu dan didalam PRN Sabah ke depan, ia akan menjadi satu teras, ini janji kita dalam manifesto PRN Sabah nanti,” katanya.