Oleh Zihan Zari
KUALA SELANGOR – Dedikasi serta semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat membuktikan bahawa kita semua peka dan menyahut usaha kerajaan Madani untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat di peringkat akar umbi.
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Abd Shukor Mahmood berkata demikian ketika berucap sempena majlis perasmian program ‘Satu Pemimpin Satu Kampung’ (Santuni Madani Kampung Kuantan) di Santuari Kelip-Kelip, Kampung Kuantan, dekat sini pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan & Pembangunan) JPM, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) JPM, Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid; Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Hj. Mohamad Hanafe Basri, dan Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Kuantan, Quarol Hisham Rohmad.
Abd Shukor berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Jun lalu telah bersetuju untuk melaksanakan program Santuni Madani di seluruh negara.
Ianya melibatkan para pemimpin iaitu Ahli Jemaah Menteri, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Jabatan/Agensi Persekutuan, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Badan-badan Berkanun, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) Persekutuan.
Menurut beliau, program ini merupakan satu program khas yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri sebagai usaha meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat menerusi libat urus berterusan dan pemantauan berkala.
“JPM telah mengadakan sesi libat urus Bersama JPKK Kampung Kuantan pada 26 September lalu dan wakil JPKK telah menerangkan secara terperinci mengenai latar belakang kampung ini serta kemudahan dan keistimewaan yang terdapat di sini.
“JPKK dan penduduk kampung yang hadir juga turut mengutarakan beberapa isu dan cabaran yang sedang dihadapi oleh penduduk kampung kelahiran saya ini, ”katanya.
“Menerusi program ini masyarakat setempat dapat menikmati pelbagai perkhidmatan penting seperti pemeriksaan kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Kuala Selangor, penerangan mengenai konsep Malaysia Madani daripada Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan pameran peralatan penyelamat serta pameran haiwan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Bagi penggemar barangan kemas pula pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyediakan kemudahan cucian emas percuma dan gadaian barang kemas.
“Manakala Lembaga Tabung Haji (TH), kami datangkan khas kepada pengunjung yang berniat untuk mendaftar haji dan membuat semakan dan mengemaskini akaun tabung haji.
“Selain itu, agensi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) juga tidak ketinggalan menyertai pameran ini dengan mengenengahkan info tentang keusahawanan.
“Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) juga turut mengambil tempat sebagai pempamer dengan berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan dan program yang telah dilaksanakan pada tahun ini dan akan diteruskan pada tahun depan,”katanya lagi.
“Masyarakat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan tawaran perkhidmatan yang menarik dengan berkunjung ke reruai yang telah disediakan.
“Selain perkhidmatan kerajaan, program ini, dimulakan dengan acara senamrobik bagi memberi peluang kepada pengunjung dan urus setia untuk melakukan aktiviti cergas dan sihat di awal pagi,”ujarnya.
“Orang ramai turut dihidangkan dengan juadah istimewa dari Kampung Kuantan ini iaitu Kari Kambing yang dimasak sendiri oleh penduduk kampung melalui aktiviti rewang
“Turut diadakan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak tabika dan murid sekolah rendah serta aktiviti-aktiviti menarik yang lain.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada YADIM, atas sumbangan bakul makanan kepada Ketua Isi Rumah yang terpilih dari pelbagai kaum, ”ujarnya lagi.
“Terima kasih juga kepada TV Alhijrah yang menyumbang beg sekolah kepada pelajar sekolah yang terpilih serta Institut Kefahaman Islamiah Malaysian (IKIM) yang menyumbang buku ilmiah kepada sekolah dan masjid di Kampung Kuantan ini.
“Dengan adanya program seperti ini, kekangan atau halangan yang dihadapi sebelum ini dapat diatasi dengan maklumat dan pendedahan yang diterima pada hari ini.
“Selain itu, saya akan menjadi sebagai penasihat dan pemudah cara dalam menyelaras tindakan penyelesaian bersama jabatan dan agensi berkaitan mengenai isu-isu yang terdapat di kampung ini, ”tambahnya. -SUARA.TV