KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penjanaan kecerdasan buatan (AI) dan pusat pelaburan untuk rakan digital.
Ini satu langkah kritikal dalam membina infrastuktur digital yang mampan dan selamat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, dalam tempoh 12 bulan seterusnya, kerajaan berharap dapat mencapai beberapa hasil utama termasuk penyediaan Pelan Tindakan Teknologi AI serta penubuhan rangka kerja tindakan untuk mengguna pakai teknologi AI secara beretika dan mampan.
Bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan, jelas beliau, bakal mewujudkan Pusat Nasional AI bagi tujuan mengkoordinasi kesemua inisiatif berkaitan teknologi tersebut.
“Dengan memanfaatkan hubungan erat dengan semua pemimpin industri serta memperkukuh kerjasama dengan semua pemegang taruh, Malaysia diyakini dapat merealisasikan hasrat ini selain mengukuhkan peranannya sebagai negara yang dipacu AI dalam rantau ASEAN ,” kata Anwar lagi.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap menyempurnakan Majlis Mantap Malaysia bersama AI, anjuran Google, di ibu negara, pada Selasa.
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet, syarikat induk kepada Google, bersama-sama menyempurnakan majlis pecah tanah pusat data dan wilayah awan pertama di Malaysia bernilai AS$2 bilion (RM9.4 bilion) yang dibina di Pusat Perniagaan Elmina, Selangor.
Dalam kenyataan media susulan, Google memaklumkan, infrastruktur itu bakal memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Google Cloud, inovasi AI, serta produk dan perkhidmatan digital lain yang digunakan oleh rakyat dan organisasi di Malaysia pada setiap hari.
Pelaburan itu dianggarkan dapat menyumbang lebih daripada AS$3.2 bilion (RM13.2 bilion) dari segi impak ekonomi positif dan mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030.
Sementara itu, pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan empat tunjang utama Dasar Pengkomputeran Awan Negara iaitu peningkatan tahap kecekapan sektor awam; penggalakan teknologi AI di kalangan perniagaan pemula dan IKS; mewujudkan rangka kerja dan protokol untuk pelindungan data awam dan swasta; dan memperkasa rakyat melalui keterangkuman digital.
“Polisi kerajaan dalam menarik pelaburan adalah jelas. Dengan memodenkan Malaysia melalui kemajuan teknologi ini, kita bukan sahaja mampu meningkatkan thaap kecekapan, tetapi memupuk budaya inovasi dan celik digital, dan akan meresap dalam kehidupan masyarakat.
“Dari perspektif serantau, apabila Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN tahun hadapan, Malaysia akan meletakkan kedudukannya sebagai juara serantau dalam polisi digital yang memandang ke hadapan dan transformatif, selain mewujudkan persekitaran kawal selia yang menggalakkan kemajuan teknologi, dan untuk memupuk kerjasama rentas sempadan,” katanya lagi.
Perdana Menteri turut tersentuh dengan perhatian yang diberikan syarikat teknologi global seperti Google dalam mengenal pasti potensi Malaysia, selain memberi sumbangan terhadap pertumbuhan negara melalui kaedah yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Kami bukan sekadar hendak menarik pelaburan pusat data, kami mahu rakan yang berkongsi aspirasi dan nilai terhadap masa depan yang lebih mampan,” kata Anwar.