Huawei intip, ugut syarikat telekomunikasi Denmark?

- Advertisement -

Dengan ura-ura syarikat pembekalan teknologi 5G China, Huawei akan memasuki negara menerusi polisi dwi rangkaian borong Fahmi Fadzil, kebimbangan mengenai taktik syarikat tersebut terus terdedah di negara-negara Eropah.

Media perniagaan terkenal, Bloomberg, mendedahkan plot cerita  tidak ubah seperti kisah filem perisikan, dalam skandal pembidaan kontrak 5G Huwaei dengan syarikat telekomunikasi utama Denmark, TDC.

Oleh kerana Huawei mula memasuki pasaran Eropah pada awal 2000 dan kecanggihan teknologi serta harga kompetitif, mereka berjaya mendapatkan kontrak dengan TDC selama enam tahun pada  tahun 2013.

Kontrak bernilai AS$700 juta adalah untuk menguruskan pelaksanaan 3G dan 4G dikatakan kerana beberapa eksekutif kanan TDC ketika itu tidak berpuas hati dengan prestasi kerja Ericsson dalam projek sebelum ini.

Oleh kerana ada ‘amaran oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan UK, TDC memujuk Huawei untuk memastikan semua peralatan yang akan dipasang diperiksa agensi perisikan negara itu dan pemeriksaan lanjutan dibuat oleh agensi perisikan UK.

Persetujuan itu membolehkan Huawei berjaya mendapatkan kontrak pada 2013. Namun pada  pada 2019, TDC menyedari mereka sebenarnya ditipu hidup-hidup.

Sepanjang pelaksanaan kontrak 2013, Huawei beberapa kali melambatkan penghantaran peralatan untuk diperiksa atas alasan “kelewatan pentadbiran” sehingga memaksa peralatan itu dipasang tanpa kelulusan agensi perisikan.

Dalam pembidaan kontrak baharu pada 2019 bagi pelaksanaan pemasangan infrastruktur 5G, Huawei sekali lagi bersaing rapat dengan Ericsson.

Menurut Bloomberg,  kerja nakal Huawei mula terbongkar apabila syarikat China itu menghantar semula tawaran terbaru di luar waktu pejabat (pukul 2. 52 pagi) sebelum mesyuarat TDC keesokan pagi untuk memuktamadkan pemenang kontrak.

Ketika itu, pengurusan TDC sudah membuat keputusan awal memberikan kontrak kepada Ericsson kerana harganya yang lebih murah.

Eksekutif kanan TDC yang bermesyuarat pagi esoknya mula merasa ragu-ragu apabila tawaran terbaru dihantar Huawei lebih murah daripada tawaran terdahulu walaupun perkara lain kekal sama.

Yang menguatkan kecurigaan mereka adalah apabila harga terbaru Huawei itu adalah lebih rendah daripada harga diberikan Ericsson.

Kesemua “kebetulan” ini mencetuskan kebimbangan sekuriti yang maklumat sulit proses bidaan itu telah bocor, yang lebih menakutkan ada potensi wujud pengkhianat dalam kalangan eksekutif kanan TDC.

Mesyuarat yang bertujuan membuat keputusan akhir pemenang kontrak 5G itu ditangguhkan, dan satu pasukan siasatan khas ditubuhkan serta merta bagi mengenal pasti risiko kebocoran maklumat sulit korporat yang boleh menjejaskan TDC.

Siasatan yang berjalan selama empat minggu itu membongkar pelbagai korupsi dan intipan korporat dilakukan Huawei bagi memastikan mereka bertapak di Eropah.

Pengurus Negara Huawei di Denmark ketika itu, Yang Lan, didapati sering mengadakan parti makan-makan di restoran mewah dengan beberapa eksekutif kanan TDC terutamanya daripada jabatan kewangan dan teknologi. Parti itu diadakan di sebuah bar di Hotel d’Angleterre yang harga sebotol wiski mencecah AS$1,700 atau AS$6,700 untuk sebotol champagne.

Lan juga didapati rapat dengan seorang eksekutif kanan TDC, beberapa kali menjemputnya ke ibu pejabat Huawei di China dan memberikannya telefon bimbit Huawei untuk digunakan.

Lan juga memperkenalkan seorang pekerja wanita warga China kepada eksekutif itu. Wanita China itu kemudiannya dipindahkan ke pejabat Huawei di Denmark, mencetuskan kebimbangan operasi “honey trap” dilaksana Huawei untuk memerangkap eksekutif kanan lelaki TDC.

Beberapa hari selepas siasatan dijalankan, pengurusan tertinggi TDC memutuskan mereka tidak lagi boleh bekerja dengan Huawei kerana pelbagai pelanggaran etika korporat dan ketiadaan kepercayaan. TDC mengumumkan keputusan akhir yang kontrak 5G diberikan kepada Ericsson.

Lan dan beberapa eksekutif kanan Huawei Eropah dan Asia berjumpa dengan eksekutif TDC selepas pengumuman itu dibuat kemudiannya memberi amaran “bahawa keputusan salah itu boleh menjejaskan syarikat Denmark lain dalam operasi mereka di China.”

Beberapa eksekutif TDC kemudiannya didapati mempunyai “hubungan rapat luar biasa” dengan Lan, ini termasuk Ketua Projek Khas TDC Div Goldstein dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Stig Pastwa. Malah Goldstein didapati makan malam bersama Lan beberapa jam selepas TDC menerima bidaan pertama Huawei.

Selepas keputusan awal yang kontrak akan diberikan kepada Ericsson, Goldstein turut menemui Lan untuk minum petang. Pada lewat malam hari sama, Huawei menghantar semakan semula tawaran bidaan dengan menawarkan harga lebih rendah daripada Ericsson.

Pasukan siasatan juga tidak terkecuali diintip apabila mereka menemui mikrofon di dalam bilik operasi mereka, memaksa mereka berpindah ke pejabat firma guaman yang tidak mempunyai akses masuk kepada pekerja Huawei. Berpuluh pegawai penyiasat, peguam dan pakar forensic digital menghabiskan masa berminggu memeriksa semua peralatan elektronik digunakan eksekutif kanan TDC.

Beberapa hari selepas mereka berpindah, sistem IT di firma guaman itu diserang secara siber. Penyiasat turut melaporkan mereka diikuti orang tidak dikenali ketika dalam perjalanan pergi kerja dan balik rumah, malah rumah Ketua Pegawai Eksekutif TDC turut diceroboh masuk, memaksa pasukan sekuriti  diletakkan sepanjang 24 jam untuk menjaga keselamatan CEO dan ketua pasukan penyiasat.

Pada malam 20 Mac 2019, pengawal keselamatan firma guaman itu mengesan dron mengintip bilik digunakan pasukan penyiasat dari luar bangunan. Tingkap bilik itu tidak ditutup menyebabkan semua maklumat yang dilekatkan di dinding dan papan putih dipercayai dirakamkan dron tersebut.

Beberapa hari selepas pengumuman akhir yang Ericsson mendapat kontrak 5G TDC, Pastwa dan Goldstein – dua suspek kebocoran maklumat berlaku- meletak jawatan.

Kisah ini adalah kisah awal bagaimana Huawei hilang kepercayaan di Denmark. Pada 2021, Denmark meluluskan undang-undang memberikan kuasa kepada agensi perisikan negara menyekat perjanjian syarikat telekomunikasi dengan mana-mana syarikat dari negara yang tidak mempunyai perjanjian sekuriti dengannya, sekaligus mengharamkan sepenuhnya penglibatan Huawei di Denmark.

Huawei kini diharamkan di kebanyakan negara Eropah dan mula meluaskan kuasanya di Asia dan Timur Tengah. Di Malaysia, mereka disebut-sebut sebagai kontraktor kedua pelaksanaan 5G dengan proses bidaan dijangka bermula awal tahun depan.

Ref:

  1. https://www.bloomberg.com/news/features/2023-06-15/how-huawei-got-caught-spying-and-lost-a-200-million-5g-contract
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat