Usah nafi kepentingan promosi

- Advertisement -

SELAIN menghasilkan karya berkualiti serta membariskan pelakon hebat, promosi dan pemasaran juga amat penting dalam memastikan sesuatu karya drama itu mendapat perhatian daripada penonton.

Itulah isu yang dibangkitkan oleh pelakon, Shahronizam Noor yang mana menganggap bahawa ia bukanlah perkara baharu terutamanya membabitkan stesen televisyen RTM.

Menurutnya, sudah tiba masanya untuk orang dalam industri sendiri bersuara mengenai perkara ini untuk mengelakkan ia terus menjadi barah sekaligus menjatuhkan semangat pembikin drama.

“Sepanjang saya terbabit dalam industri seni tanah air, kelemahan utama stesen RTM adalah dari segi promosi dan pemasaran.

“Kami sebagai karyawan ataupun mereka yang bergelar pengarah di unit drama sudah cuba melakukan yang terbaik dalam menghasilkan sesuatu karya untuk ditayangkan di televisyen.

“Namun begitu, apabila karya itu ditayangkan, sambutan yang diterima kurang menggalakkan kerana ramai yang tak tahu akan kewujudan karya itu,” katanya.

Tambahnya, kualiti drama ditayangkan di RTM tidaklah teruk kerana ada juga yang pernah dinobatkan sebagai drama terbaik.

“Saya ingin berkongsi satu pengalaman saya di mana saya pernah bekerja dengan satu produksi untuk RTM.

“Jalan ceritanya boleh saya katakan sangat menarik. Kualiti karya itu melayakkannya menggondol kemenangan untuk drama dan pengarah terbaik di satu acara anugerah besar.

“Walau bagaimanapun, ramai rakan-rakan dan kenalan saya yang meluahkan bahawa mereka tidak tahu-menahu mengenai kewujudan atau penayangan karya itu,” katanya.

Shahronizam juga turut meluahkan pendapat berdasarkan pengamatannya kepada rangka promosi dan pemasaran yang dilakukan oleh stesen televisyen swasta tempatan.

“Jika kita lihat rangka promosi dan pemasaran yang dilakukan oleh stesen TV lain terutamanya stesen TV swasta, kebanyakan mereka akan menggunakan teknik yang sama iaitu menyelitkan promosi sesuatu drama dalam apa juga slot dan program.

“Bahkan, drama yang akan ditayangkan juga turut dipromosikan dalam slot berita. Jadi, secara tak langsung, apabila pemberitahuan itu di ulang berkali kali, penonton akan sedar bahawa drama itu bakal ditayangkan pada tarikh yang ditetapkan.

“Satu lagi perkara yang ingin saya sentuh adalah durasi pendek promosi drama di mana RTM kerap kali memulakan rangka promosi agak lewat jika dibandingkan dengan stesen TV lain.

“Selain itu, ingin saya sentuh adalah mengenai waktu tayangan di mana ada kalanya drama yang ditayangkan bukanlah pada waktu sesuai bahkan ada juga yang pernah ditayangkan pada 1 pagi,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat