Alif dedah pesakit COVID-19 merokok terima rawatan berbeza

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar, 32, menyeru rakyat Malaysia berhenti merokok dan jangan sesekali terjebak dengan amalan tidak sihat yang boleh membahayakan nyawa ketika pandemik COVID-19.

Menerusi perkongsian video dalam laman Instagram, penyanyi lagu Jangan Nakal dan Lelaki Seperti Aku itu menitipkan nasihat dan berkongsi pengalaman selepas dijangkiti COVID-19 pada November 2020.

 


 

Alif berkata, dia bukan seorang perokok, justeru, rawatan diterima berbeza daripada pesakit COVID-19 yang merokok.

“Ketika dijangkiti COVID-19, soalan pertama ditanya doktor, adakah saya seorang perokok?

“Bagaimanapun, saya bukan seorang perokok, namun, seorang rakan yang sudah berhenti merokok, tetapi mempunyai sejarah merokok menerima rawatan berbeza.

“Ini mungkin disebabkan paru-paru tidak berfungsi dengan baik atau ada tar.

“Badan ini bukan milik kita, tetapi Allah pinjamkan. Jadi, kita perlulah menjaganya sebaiknya.

“Umpama jika diberikan kereta yang perlu dipakai seumur hidup, tentunya kita menjaga kereta seeloknya supaya boleh berfungsi dengan baik,” kata Alif.

Bagi pelakon drama Dia Semanis Honey dan Hikayat Cinta Si Pematah Hati itu, setiap manusia hanya dikurniakan satu jantung dan paru-paru, jadi, kenapa harus dirosakkan dengan merokok.

 

Alif berkongsi dirinya bukan seorang perokok, justeru, rawatan diterima berbeza daripada pesakit COVID-19 yang merokok. - Foto IG Alif Satar
Alif berkongsi dirinya bukan seorang perokok, justeru, rawatan diterima berbeza daripada pesakit COVID-19 yang merokok. – Foto IG Alif Satar

 

Sebaliknya, kata Alif, ia perlulah dijaga dengan baik kerana amanah Allah untuk umatnya.

“Kita hanya ada satu jantung dan paru-paru. Janganlah merosakkannya dengan merokok.

“Kalau boleh berhentilah merokok dan jika boleh dielak, cubalah elak.

“Marilah kita sama-sama mengamalkan cara hidup baik dan menjadi rakyat Malaysia yang lebih sihat dengan berhenti merokok,” katanya menerusi video pendek berkenaan.

Terdahulu, BH Online melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan menubuhkan jawatankuasa bebas yang akan mengkaji berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 sebelum ia dikuatkuasakan pada 2025.

RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok.

Selain itu, ia juga diyakini dapat mengurangkan peratus perokok di Malaysia kepada kurang lima peratus menjelang 2040 berbanding kira-kira 21 peratus ketika ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata jika sasaran lima peratus tidak dicapai dalam tempoh itu, negara akan kehilangan dua juta nyawa akibat merokok, termasuk perokok pasif.

“Kita yakin dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok, dalam tempoh sehingga 2040 sekiranya RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 diluluskan.

“Setiap tahun banyak nyawa hilang disebabkan kematian pramatang yang berpunca daripada kesan akibat merokok,” katanya.

Menurut rekod Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), tabiat merokok membunuh lebih lapan juta penduduk dunia setiap tahun, termasuk 1.2 juta perokok pasif.

Perokok pasif adalah mereka tidak merokok tetapi menghidu atau menyedut asap rokok yang dihasilkan oleh perokok aktif.

Khairy juga yakin pelaksanaan akta itu kelak juga dapat menurunkan kes tiga penyakit utama berkaitan tabiat merokok iaitu barah paru-paru, sakit jantung dan penyakit paru-paru tersumbat kronik (COPD) akibat merokok.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat