PENYANYI serta pelakon cantik popular tanah air, Elizabeth Tan dan rapper, Zynakal bergabung buat pertama kalinya dalam single terbaharu beritma pop dansa ala Korea berjudul Narsis terbitan Warner Music Malaysia.
Elizabeth yang mesra disapa Lizzy berkata, dia mengambil masa lama untuk merakamkan single baharu disebabkan komitmen kerja dan keluarga.
“Sebenarnya saya banyak menerima tawaran berlakon dan kebanyakan proses penggambaran selalunya memakan masa lama, selain itu saya juga lebih fokus dengan keluarga selepas berumah tangga pada tahun lalu.
“Disebabkan itu agak lama saya tiada lagu baharu. Saya juga baru selesai menjalani penggambaran drama, barulah saya berpeluang masuk studio untuk merakamkan lagu
“Kerjasama dengan Zynakal adalah idea daripada pihak pengurusan Warner Music sendiri yang mahukan gabungan baharu dan segar dalam memenuhi selera pendengar masa kini yang pelbagai,” katanya.
Menurut Lizzy, pada awalnya ketika mendengar demo lagu ciptaan Brendan Lim, Seow Seng Tack, Wee Zhen Yong dan Zynakal itu seperti ada sesuatu yang kurang.
“Selepas mendengar demo yang diberikan pihak MFMF, saya berasakan ada ‘sesuatu’ yang kurang, jadi Pengarah A&R Pemasaran Domestik, Raqeem Brian mencadangkan supaya dimasukkan rangkap rap yang dinyanyikan Zynakal, maka terhasil Narsis,” katanya.
Lagu pop rancak yang berdurasi dua minit 24 saat ini menceritakan mengenai perihal manusia bersifat narsisistik yang wujud dalam kalangan masyarakat kita sejak dulu.
“Lirik lagu ini sebenarnya sangat ‘straight forward’. Kalau dihayati ia mengenai seorang lelaki ‘narsis’ yang mementingkan diri dan tidak mempedulikan orang lain selain dirinya.
“Lagu ini juga agak peribadi bagi saya kerana saya pernah mengalami situasi berdepan insan sebegini di mana saya diperlakukan dengan teruk dan tidak adil,” katanya.

Dalam masa sama, Lizzy yang memulakan kariernya sebagai penyanyi berkata, dia kini lebih cenderung dalam bidang lakonan.
“Saya minat berlakon dan menulis lagu, bidang nyanyian pula mungkin jatuh nombor dua, namun jika disuruh memilih, rasanya sukar untuk saya membuat keputusan. Bagi saya bidang lakonan memberi kepuasan yang berbeza di mana saya berpeluang membawa watak yang berlainan serta ada cabarannya kerana setiap watak ada keistimewaannya tersendiri.
“Melalui penulisan lagu pula, saya dapat menghiburkan dan menginspirasikan pendengar seperti lagu Tabah yang saya nyanyikan dahulu. Peminat memberitahu lagu itu membantu mereka yang kemurungan untuk bangkit semula. Itu istimewanya muzik, sebuah alatan luar biasa yang dapat menyembuhkan seseorang dari pengalaman yang memberikan trauma,” katanya.
Sementara itu, Zynakal menyifatkan Lizzy seorang penyanyi yang berbakat.
“Saya dengan Lizzy berada di bawah syarikat rakaman sama, jadi pihak Warner Music yang mencadangkan kami dipadukan dalam sebuah single pop dansa ala Korea yang popular ketika ini. Proses rakaman memakan masa beberapa jam di Studio MFMF, manakala proses pengubahsuaian dan suntingan lagu ini berlanjutan selama seminggu.
“Bagi saya, Lizzy ialah seorang artis yang berbakat dan sangat komited. Dia tahu apa yang diperlukan untuk menaikkan sesebuah karya sehingga betul-betul menjadi. Untuk rangkap rap dalam lagu ini, saya sendiri menulis liriknya serta menambah ‘flavour’ Zynakal melalui nyanyian rap saya,” katanya.
Serentak dengan single itu turut dilancarkan muzik video (MV) yang ditayangkan di YouTube Warner Music Malaysia dengan konsep artistik dan punya jalan cerita menarik.
“Dalam MV Narsis yang diilhamkan oleh pengarah, semua yang berlaku hanya imaginasi semata-mata dan tiada orang di sekeliling menggambarkan betapa traumanya perasaan itu.
“Saya berharap peminat semua sukakan Narsis sebagaimana lagu saya terdahulu, walaupun pendek, mesejnya terpampang jelas. Terima kasih atas sokongan anda selama ini, saya sayangkan kamu semua dan jangan lupa untuk menonton MV lagu ini nanti,” kata Lizzy.
Harian Metro