Unit Peronda TH Bertugas 24 Jam Bantu Jemaah Haji Malaysia

- Advertisement -

MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) menempatkan anggota Unit Peronda untuk bertugas 24 jam di lapan check point atau lokasi khusus di sekitar Masjidil Haram bagi membantu jemaah haji Malaysia, terutama dari segi pandu arah demi memastikan keselamatan mereka.

Anggota pasukan yang turut digelar ‘Lipan Bara’ itu juga berperanan membantu jemaah haji Malaysia yang dilihat tidak berupaya menyelesaikan pelaksanaan ibadah di kawasan berkenaan, seperti tawaf dan sai, akibat masalah kesihatan.

Ketua Unit Peronda TH bagi Musim Haji 1444H/2023M Wan Shamsol Husin berkata, mereka ditempatkan di lapan pos dikenal pasti, iaitu kawasan sekitar tandas di Marwah dan laluannya (Zon A) berikutan jemaah lazim didapati hilang arah apabila mahu kembali ke dalam masjid selepas keluar ke tandas.

Selain itu, katanya, kawasan sekitar pintu Marwah yang juga laluan untuk jemaah keluar serta pulang ke bangunan penginapan selepas mengerjakan tawaf dan sai, serta kawasan sekitar pintu Assalam.

Seterusnya, beliau berkata, kawasan dataran Safwah ke Ajyad (Zon B); kawasan dataran laluan Menara ZamZam; kawasan dataran laluan ke Misfalah (Zon D); dan baki dua pos lagi di kawasan dataran laluan ke Hafaer (Zon C) kerana ia membabitkan lokasi yang luas.

“Seramai 17 anggota Polis Bantuan TH terpilih untuk bertugas bersama saya sebagai pasukan peronda dalam operasi haji Malaysia di Tanah Suci, tahun ini. Pejabat kami sudah beroperasi sejak 21 Mei dan memulakan tugas meronda secara rasmi pada 26 Mei lalu sebaik saja jemaah haji daripada kumpulan penerbangan satu (KT1) selamat tiba di Makkah dari Madinah.

“Penugasan pasukan peronda ini dibahagikan kepada tiga syif, iaitu dari 7 pagi hingga 2 petang, diikuti 2 petang hingga 10 malam, sebelum anggota kumpulan syif pertama akan kembali bertugas dari 10 malam hingga 7 pagi keesokannya.

“Secara keseluruhan, pasukan akan bertugas 24 jam di sekitar kawasan Masjidil Haram, dengan setiap syif membabitkan lapan peronda. Anggota ditempatkan di lapan lokasi khusus tetapi bukan statik di tempat itu, sebaliknya akan bergerak di sekitar kawasan terbabit kerana jarak antara satu check point dengan check point lain adalah kira-kira 200 meter,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat TH di Makkah, Abraj Al-Janadriyah.

Wan Shamsol berkata, anggota pasukan yang juga pernah digelar ‘Semut Merah’ itu berpenampilan seragam dengan memakai kemeja-T berwarna merah dibekalkan TH, seluar hitam dan kopiah putih serta membawa beg sandang TH berwarna merah, bagi memudahkan jemaah mengenali mereka dan meminta bantuan sekiranya perlu.

Katanya, antara tugas anggota peronda itu ialah membantu jemaah haji Malaysia di kawasan sekitar Masjidil Haram, khususnya menunjukkan laluan betul kepada mereka yang didapati tersasar jalan atau hilang arah untuk pulang ke bangunan penginapan masing-masing.

Beliau yang juga pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan berkhidmat di TH sejak 2014 menjelaskan, bantuan itu penting kerana ramai jemaah haji pada musim haji ini terdiri daripada warga emas dengan sebahagiannya berusia lebih 70 tahun, malah ada yang tidak mempunyai pengiring.

“Selain itu, ada juga jemaah haji Malaysia tidak dapat menyelesaikan pelaksanaan ibadah di masjid seperti tawaf dan sai akibat masalah kesihatan. Jadi, anggota kami akan membantu mereka untuk menyempurnakan pelaksanaan ibadah itu. Malah, anggota juga membantu jemaah yang memerlukan perkhidmatan teksi untuk pulang ke bangunan penginapan, terutama golongan uzur atau berkerusi roda.

“Anggota peronda TH adalah terlatih dan boleh mengenal pasti jemaah haji Malaysia yang berkemungkinan memerlukan bantuan, seperti dilihat berada dalam keadaan hilang arah. Mereka dibekalkan dengan peta lokasi Masjidil Haram, selain membawa peralatan seperti lampu suluh dan gunting untuk keperluan jemaah haji melakukan tahalul,” katanya.

Bagi musim haji kali ini, Wan Shamsol berkata, permohonan untuk menyertai pasukan peronda itu dibuka kepada semua anggota Polis Bantuan TH, sebelum dipilih dengan antara kriteria diberi penekanan utama ialah aspek kesihatan sejajar cabaran bertugas di Tanah Suci.

“Kebanyakan mereka sudah berkhidmat lebih enam tahun di TH. Namun kecuali saya, semua anggota lain yang terpilih pada tahun ini adalah kali pertama bertugas di Tanah Suci. Justeru, saya diamanahkan dengan tanggungjawab membimbing mereka untuk melaksanakan operasi sebagai pasukan peronda di Tanah Suci,” katanya. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat