Rafizi Akan Bentang Di Kabinet Kerjasama Ekonomi Malaysia-Qatar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan membentangkan di Kabinet langkah-langkah untuk membangunkan potensi pelaburan bersama dengan Qatar dalam bentuk satu Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-Qatar.

Hal ini katanya, supaya potensi-potensi pelaburan dapat diterjemahkan kepada laba ekonomi secepat mungkin.

Rafizi memaklumkan pada Mac lalu beliau berpeluang mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Qatar (QEF) iaitu salah satu forum pelabur dan ekonomi terbesar di dunia yang tertumpu kepada kerjasama dan pelaburan negara-negara rantau Teluk (Arab Saudi, Qatar, UAE dan lain-lain) dengan negara-negara lain di seluruh dunia.

“Selain membincangkan potensi pelaburan bersama dan kerjasama ekonomi antara Qatar, Arab Saudi dan Malaysia dalam bidang peralihan tenaga dan ekonomi digital, saya juga menerokai peluang pelaburan bersama dengan Qatari Diar dalam sektor penjanaan semula bandar (urban rejuvenation).

“Qatari Diar adalah salah sebuah syarikat pelaburan hartanah terbesar di dunia dengan pelaburan hartanah berjumlah USD35 bilion (RM160 bilion) di 20 negara, termasuk projek-projek besar seperti Pusat Bandar Washington DC, East Village London, The Jacx New York dan lain-lain.

“Saya akan membentangkan kepada Jemaah Menteri langkah-langkah seterusnya untuk membangunkan potensi pelaburan bersama dengan Qatar dalam bentuk satu Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-Qatar, supaya potensi-potensi ini dapat diterjemahkan kepada laba ekonomi secepat mungkin,” kata Rafizi dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau juga menyatakan aspirasi Malaysia ingin memimpin peralihan tenaga di Asia Tenggara mewujudkan peluang pelaburan berjumlah RM637 bilion untuk tempoh 20 tahun akan datang, yang membuka ruang kepada pelabur-pelabur menyertai pelaburan-pelaburan ini.

Jelas Rafizi, daya saing Malaysia dari segi kos perniagaan yang lebih berpatutan berbanding negara lain di rantau ini, mengambil kira mutu infrastruktur dan tenaga kerja yang Malaysia ada.

“QEF memberi satu slot khusus kepada saya yang dikendalikan dan disiarkan oleh Bloomberg untuk membentangkan potensi pelaburan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Selain mengulangi kembali prestasi ekonomi Malaysia setakat suku pertama 2023 yang memberangsangkan, saya menjelaskan pelan penstrukturan ekonomi negara kepada komuniti pelabur dunia,” ujarnya.

Kata Rafizi lagi, antaranya ialah usaha kerajaan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan memberi tumpuan kepada pengurusan tata kelola kewangan kerajaan dan pensasaran semula subsidi tenaga yang telah bermula. Langkah ini akan berjaya membantu kerajaan mematuhi sasaran penurunan defisit kepada 3.5 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025, seterusnya mengurangkan hutang terkumpul kerajaan yang kini mengekang pertumbuhan ekonomi negara.

“Pelan strategik kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pemimpin serantau peralihan tenaga di Asia Tenggara. Kerajaan telah mengumumkan beberapa dasar utama seperti membenarkan perdagangan tenaga boleh baharu (TBB) rentas sempadan, penubuhan pasaran serantau untuk jual beli TBB dan menggandakan sasaran kapasiti penjanaan TBB kepada 70 peratus dari keseluruhan kapasiti penjanaan tenaga menjelang 2050.

“Kemampuan Malaysia untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam industri semikonduktor dan cip komputer
berprestasi tinggi untuk mengambil peluang kepada permintaan masa depan kepada cip-cip komputer berprestasi tinggi akibat peningkatan aplikasi kecerdasan buatan (generative artificial intelligence),” jelas beliau.

Dalam pada itu tambah Rafizi, rakan dagang dari rantau Teluk dan komuniti pelabur antarabangsa memberi reaksi yang sangat positif kepada usaha-usaha ini.

“Ada beberapa faktor yang mendorong mereka untuk meneliti kerjasama ekonomi dengan Malaysia iaitu kestabilan politik yang paling kukuh sejak 2004 dengan majoriti dua pertiga yang dipegang Kerajaan Perpaduan memastikan kelangsungan dasar dan kepimpinan ekonomi negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat