Enam Parti Sekutu BN Ikrar Setia Waktu Susah dan Senang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Enam parti sekutu Barisan Nasional (BN) hari ini berikrar menyatakan sokongan penuh kepada gabungan berkenaan dan berjanji tidak akan berganjak dalam waktu susah atau senang.

Ikrar itu dinyatakan pada Konvensyen BN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini oleh pimpinan Parti Makkal Sakti Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Barisan Progresif India Se-Malaysia (IPF), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Punjabi Malaysia.

Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran, berkata parti berkenaan akan memberikan sepenuh komitmen, menghormati dan menjunjung tinggi keputusan BN dalam menentukan hala tuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kami akan memastikan usaha untuk memenangi semula hati rakyat untuk mengundi BN dapat dilakukan secara berkesan demi menjamin kestabilan, kejayaan, kemajuan dan kemakmuran negara.

“Kami akan menumpukan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada BN dan memperkasa gerak kerja parti demi kemenangan pada PRU-15,” katanya ketika membacakan ikrar berkenaan.

Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, berkata parti itu juga akan bekerja lebih gigih dan menyumbang sepenuh tenaga, idea dan masa bagi memastikan BN mencatat kemenangan besar di setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

“Kami akan berganding bahu, bersatu hati memikul amanah dan tanggungjawab serta memastikan kesepaduan jentera di setiap peringkat dapat diperkemas dan diperkasa untuk menawan semula Putrajaya.

“Kami akan mengenepikan setiap perbezaan dan meningkatkan solidariti antara parti dalam BN bagi membentuk kesatuan yang utuh demi menumbangkan lawan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, berkata parti komponen dalam BN harus bergerak sebagai satu pasukan yang mantap dan bersedia berganding bahu di belakang kepemimpinan untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Katanya, kenyataan-kenyataan daripada pimpinan Pusat dan negeri tidak boleh sama sekali menampakkan percanggahan, yang akan disalah anggap atau diterjemahkan oleh umum sebagai keretakan dalam kepemimpinan.

Beliau berkata, masalah dalaman perlu diselesaikan segera supaya tidak menjadi beban dalam menghadapi PRU yang boleh menghantar isyarat berbeza atau bertindih yang kurang menyenangkan ahli parti dan pengundi.

“Percanggahan dan masalah dalaman akan mengagalkan naratif kita yang mementingkan kestabilan. Dalam mendepani cabaran PRU-15, saya menyarankan agar kita ingat kembali kepada janji-janji kestabilan yang menjadi aku janji kepada rakyat di PRN (pilihan raya negeri) Melaka dan Johor.

“Harus diingatkan, kemenangan BN di Melaka dan Johor adalah kerana keinginan rakyat untuk kestabilan dalam pentadbiran negeri, bukannya kerana rakyat mengundi berasaskan nostalgia jasa-jasa lampau,” katanya.

Beliau berkata, identiti politik yang berasaskan kaum dan agama masih menyerlah di negara ini dan ia terbukti dengan pemilihan peringkat parti, namun itu tidak bermaksud BN harus berfikiran sempit kerana apa yang penting adalah mencari keseimbangan.

“Setiap kita harus sedar, negara ini dibina atas dasar berkompromi demi kepentingan bersama kerana ia adalah sumber kekuatan kita. Harapan saya ialah permuafakatan antara UMNO, MCA dan MIC serta PBRS haruslah diperkukuhkan.

“Ia supaya kita dapat menawarkan penyelesaian kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan semua kaum, melaksanakan dasar yang memenuhi aspirasi rakyat dan menghapuskan ketidakadilan sosial yang mengancam perpaduan rakyat,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat