Saifuddin bakal bertemu Rafizi rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR akan datang.

Saifuddin membuat pengumuman itu dalam perutusan khas selepas mesyuarat agung cabang Wanita dan Angkatan Muda Keadilan Kelantan di Mulong, Kota Bharu.

Beliau bakal berdepan dengan Rafizi Ramli yang telah pun secara rasmi mengumumkan akan bertanding sebelum ini.

Untuk rekod jawatan Timbalan Presiden PKR ‘kosong’ selepas Datuk Seri Azmin Ali yang bertindak lompat parti pada Februari 2020 dan menyertai Bersatu.

Memetik Malaysiakini di Kelantan, Saifuddin membangkitkan pengalamannya dalam PKR dan ketaatannya kepada pimpinan dan perjuangan parti selama lebih dua dekad dan memohon agar seluruh anggota memberi sokongan kepadanya.

“Saya bertekad meneruskan usaha sehabis daya membantu institusi presiden yang kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti mana sebelumnya membantu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengukuh dan mempersiap parti menghadapi pilihan raya umum bersama rakan-rakan pimpinan seluruhnya,” katanya.

Turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang merasmikan mesyuarat agung tersebut.

Saifuddin dan Rafizi sebelum ini pernah bertanding jawatan itu, masing-masing pada 2014 dan 2018. Kedua-duanya tewas kepada Azmin Ali.

Bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador juga dikatakan akan bertanding jawatan itu, namun berkata sedia memberi laluan kepada Saifuddin.

Sementara itu Saifuddin berkata, dia mengalu-alukan pengumuman awal Rafizi yang turut menawarkan diri.

“Sejujurnya Rafizi merupakan aset parti, seorang yang kreatif, intektual, tinggi daya juang dan dihormati rakan dan lawan.

“Justeru persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang diizinkan di dalam perlembagaan parti,” katanya yang juga anggota Parlimen Kulim-Bandar Bahru.

Tambahnya, dia juga komited membawa pendekatan kerja berpasukan dan akan memposisikan diri sebagai ‘team player’ yang menghargai sumbangan setiap orang di dalam parti

Katanya, ia terbukti apabila turut mempersiapkan parti dalam menghadapi tiga PRU sebelum ini, termasuk urusan rundingan kerusi, perangkaan manifesto, perancangan strategi, pengukuhan jentera dan kempen seluruh negara.

“Pada ketika lanskap politik negara sudah banyak berubah yang menyaksikan tiada lagi dominasi tunggal satu parti politik yang mampu menang pilihanraya, maka kemahiran diplomasi politik menjadi suatu keperluan.

“Saya membawa pengalaman tatkala parti bersama Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Saya berhasrat memanfaatkan sedikit kemahiran membantu parti dalam perkara berkait diplomasi politik dalam memelihara hubungan dengan parti-parti sahabat di dalam PH dan parti-parti lain di negara kita.

“Saya juga berjanji akan menghormati keputusan setiap anggota parti yang membawa maksud jika terpilih, saya akan tunaikan amanah dan jika sebaliknya saya akan terus kekal berkhidmat untuk PKR dalam apa jua peranan,” kata Saifuddin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat