“Kalau Betul Muhyiddin Bagus Sebagai PM Dulu, Tak Perlu Minta Tolong Saya” – Tun M

KUALA LUMPUR – “Sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan sesuatu yang hebat kepada Malaysia sewaktu menjadi Perdana Menteri ke-8 dulu, saya yakin dia tak perlukan pertolongan saya untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi,” bidas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pejuang itu malah memberitahu sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri ramai orang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Muhyiddin.

“Ya lah semasa dia (Muhyiddin) jadi Perdana Menteri kebanyakan orang tak puas hati dengan kepimpinan dia. Tak ada sebab orang nak pilih dia semula (sebagai Perdana Menteri).

“Kalau dia archieve great thing for Malaysia, saya yakin dia tak perlu dapat pertolongan daripada saya dan Pejuang pun dia boleh menang,” kata Dr Mahathir dalam sidang media di Yayasan Albukhary pada Jumaat.

Ahli Parlimen Langkawi juga menegaskan beliau dan partinya tidak akan sesekali menyokong pemimpin yang gagal meskipun memberitahu belum membuat sebarang keputusan berhubung pelawaan Presiden Bersatu itu.

Bukan itu saja, Dr Mahathir juga mendedahkan soalan Muhyiddin terhadap dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

“Muhyiddin tanya saya adakah saya akan sokong dia untuk jadi Perdana Menteri lagi? Sedangkan kami tak kuat, kalah pilihan raya negeri dan tak ada duit tapi dia minta sokongan,” tempelak bekas Perdana Menteri itu.

Dr Mahathir melabel Muhyiddin sebagai tikam belakang.

“Sokong? Saya tak tau nak kata apa dah, dia tikam belakang.

“Dia tikam belakang tapi kami tak mati lagi. Kita tak buat apa-apa keputusan lagi (untuk kerjasama),” ujar beliau.