Tun Faisal kemuka enam hujah balas ketepikan hukuman

- Advertisement -

CYBERJAYA: TIMBALAN Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengemukakan enam hujah balas kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam rayuannya untuk mengenepikan hukuman yang dikenakan terhadapnya hari ini.

Menurut Tun Faisal, antara hujah yang dikemukakan adalah tiada prosedur bertulis yang boleh dirujuk oleh Orang Kena Tuduh (OKT) dan tiada prosedur bertulis yang diberikan kepadanya lebih awal.

” Apabila saya dipanggil untuk menghadiri Tribunal Lembaga Disiplin pada 1 Mac 2021, tiada prosedur bertulis Tribunal yang boleh dirujuk dan saya tidak diberikan sebarang prosedur bertulis dan hanya dimaklumkan bahawa apa yang keluar daripada mulut  Pengerusi Tribunal adalah merupakan prosedur tribunal,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan permohonan rayuannya di Ibu Pejabat UMNO di sini hari ini.

Katanya, sebagai OKT, beliau tidak dimaklumkan dengan jelas dan hak tersebut telah dinafikan.

” Dalam konteks kes saya, pada mulanya saya telah dinafikan hak untuk mendapatkan nama pengadu dan butiran aduan yang dikemukakan.

“Saya telah diminta menyediakan pembelaan dengan mengagak-agak sahaja aduan sebenar yang dibuat dan motif sebenar pengadu.

“Jika tidak kerana saya berkeras tidak mahu memulakan pembelaan diri sehingga hak-hak saya sebagai OKT diberikan, saya pasti hak untuk mengetahui nama pengadu dan aduan sebenar pengadu tidak akan diberikan,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Akbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, sebagai OKT, tidak ada penghakiman bertulis yang diberikan selepas keputusan dibuat dan beliau hanya mengetahui penggantungan tersebut melalui portal Utusan Online.

” Tiada penghakiman bertulis diberikan kepada saya sebagai rujukan untuk membela diri dan ia tidak disebut langsung didalam surat bahawa saya berhak untuk membuat rayuan,” katanya

Tun Faisal turut menyifatkan hukuman yang dikenakan keatasnya adalah tidak wajar dan menimbulkan persoalan kerana beliau tidak pernah terlibat dengan politik wang, tidak terbabit dengan jenayah dan didakwa di mahkamah serta tidak membocorkan rahsia parti.

Selain itu, ujarnya, Integriti Lembaga Disiplin boleh dipertikaikan kerana berlaku kebocoran maklumat mengenai hukuman Lembaga Disiplin ke atasnya sebagai OKT apabila beberapa ahli UMNO Putrajaya telah mengetahui mengenai penggantungan tersebut lebih awal iaitu pada 16 Mac 2021 sedangkan hukuman tersebut diambil dalam mesyuarat MKT pada 27 Mac lalu.

Beliau turut berkata, maklumat yang tidak menyeluruh dan salah telah disampaikan kepada Biro Pengurusan dan Mesyuarat MKT.

” Saya dimaklumkan bahawa Ahli MKT tidak mendapat maklumat tentang apakah kesalahan sebenar saya dan tiada maklumat mengenai kes saya ini disampaikan kepada mereka.

“Mereka juga diberi gambaran yang salah oleh salah seorang anggota MKT bahawa ini adalah masalah dalaman Putrajaya yang menyebabkan ahli-ahli MKT tidak mahu terlibat mencampuri urusan dalaman Bahagian Putrajaya sedangkan kesalahan saya didakwa dilakukan ke atas Presiden,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata adalah wajar bagi UMNO untuk mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan sekaligus menarik balik pengesahan terhadap keputusan Lembaga Disiplin UMNO Malaysia yang jelas tidak bersandarkan merit dan fakta kes.

” Saya juga memohon agar MKT dapat membatalkan hukuman penggantungan selama enam tahun yang jelas zalim dan tidak masuk akal.

“Saya juga berharap agar MKT dapat mengembalikan semula hak-hak keahlian saya, termasuk jawatan saya sebagai Ketua UMNO Cawangan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang saya menangi melalui proses demokrasi yang sihat dan dalam pertandingan yang adil tanpa menyalahi tata etika parti termasuk politik wang,” katanya

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat