Oleh Zihan Zari
PADANG TERAP – Seramai 109 orang anggota pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melibatkan 12 daerah di Kedah menjalani latihan secara medan seperti kemahiran asas ikhtiar hidup dan mengendalikan peralatan komunikasi.
Sebagai barisan pertahanan kedua di belakang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM menyasarkan untuk melengkapkan dan memberi latihan kondusif kepada pegawai dan anggotanya bagi kesiapsiagaan dalam tugasan harian dan operasi menyelamat.
Antara latihan yang diperuntukkan, kursus asas Pertahanan Awam, latihan kompetensi petugas, persediaan monsun, latihan kemahiran, latihan zon dan latihan yang bersesuaian dengan tugasan harian serta skop tugasan APM.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Hj. Abdul Wahab Rahim berkata, latihan ini dilaksanakan bagi melahirkan pegawai dan anggotanya yang berkemahiran serta cekap dalam melaksanakan operasi menyelamat selain menambahbaik pengetahuan berkaitan ilmu Pertahanan Awam.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Latihan Medan APM dan Pembukaan Latihan APM Negeri Kedah 2025 di Tapak Latihan Medan APM, Charok Batang Padi, Tasik Pedu dekat sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah APM Kedah, Lt. Kol (PA) Zairil Anuar Zulmuji.
Menurut Abdul Wahab, latihan berkala ini penting kepada pegawai dan anggota APM lebih-lebih lagi kepada MyASPA Pengurusan, Operasi dan Chameleon kerana mereka akan berhadapan dengan tugasan operasi yang merangkumi pelbagai keadaan.
“Semua pegawai dan anggota APM sentiasa melatih dan mengadakan latihan kemahiran secara berkala di tempat masing-masing bagi mempersiapkan petugas yang sentiasa bersedia dengan apa jua keadaan bencana atau kecemasan.
“Bukan itu sahaja, kepada semua rakan Pasukan Bantuan Pertahanan Awam (CDA) disarankan untuk mengadakan latihan bersama APM secara berterusan bagi menyediakan diri dan pasukan anda dengan ilmu asas pertahanan awam, ”katanya.
“Ini bertepatan dengan fungsi pertahanan awam iaitu melatih dan melengkapkan rakyat dengan ilmu pertahanan awam ke arah kesiapsiagaan menghadapi ancaman musuh, kecemasan dan bencana.
“Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi (BPBO) akan mengadakan sistem pengurusan yang lebih efisien dalam menangani Hal Ehwal Pengurusan Bencana dan Operasi meliputi Pasukan PASPA, MERS 999, Pengurusan Operasi, dan Pengurusan Bencana, dan Pengurusan Paramedik.
“Selain itu, Penyelamat Pantai (Baywatch), Khidmat Kemanusiaan dan Sistem Amaran Bencana demi memastikan keselamatan orang awam dan harta benda terus terpelihara sebelum, semasa dan selepas sesuatu bencana,”katanya lagi.
“BPBO Ibu Pejabat Pertahanan Awam Malaysia (IPPA ) akan sedaya upaya menambahbaik latihan-latihan yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan kemahiran di peringkat negeri seiring dengan kekuatan keanggotaan yang dimiliki oleh APM.
“Melalui latihan yang dilaksanakan ini ianya dapat meningkatkan mutu operasi petugas yang berada di lapangan.
“Semua anggota mampu untuk melaksanakan operasi dengan baik , meningkatkan kemahiran kendiri dan peralatan serta dapat melahirkan anggota pasukan yang sentiasa berfikiran kreatif serta mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi.
“Selain itu, peserta akan mengukur sejauh mana kekuatan mental dan fizikal mereka sendiri apabila berdepan dengan situasi operasi yang mencabar,”ujarnya.
“Pegawai dan anggota pasukan sentiasa menambah pengetahuan dan kemahiran ilmu Pertahanan Awam agar kita dapat berada sebaris dengan agensi penyelamat yang lain.
“Berhati-hati dalam melaksanakan latihan dan tugasan di lapangan agar dapat mengelakkan perkara- perkara yang tidak diingini berlaku serta sentiasa mengikut peraturan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh jabatan.
“Semua warga APM sentiasa cekal, amanah dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan demi bangsa, agama dan negara, ”ujarnya lagi.
APM Kedah dalam kenyataannya memaklumkan telah memperkenalkan Tapak Latihan Medan berkeluasan sekitar 50 hektar kawasan darat dan 60 hektar kawasan air bagi pelaksanaan segala aktiviti dan latihan.
“Kawasan ini amat sesuai dijadikan sebagai kawasan latihan survival , latihan pengendalian bot, navigasi darat, menyelamat di air dan latihan berkaitan di darat, ”katanya.
Terdahulu anggota APM yang menyertai latihan medan diberi pendedahan tentang fiqh ibadat bagi meningkatkan pemahaman dan pengetahuan untuk mengerjakan solat ketika menjalankan operasi.
Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Bahagian Pengurusan Lembaga Pengurusan Sekolah Zakat Kedah (LEPSAZ), Kapten Bersekutu (PA) Mohd Mujaheed Mohamad.-SUARA.TV