Peralihan tenaga buka banyak peluang perniagaan termasuk PKS, manfaatkan Bumiputera – Fadillah

- Advertisement -

PUTRAJAYA -Pelaksanaan inisiatif Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan berupaya membuka lebih banyak peluang perniagaan dan potensi ekonomi baru untuk dimanfaatkan dan nikmati oleh semua pihak.

Ini termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), khususnya kepada usahawan Bumiputera.

Menurut Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof kesemua inisiatif peralihan tenaga merupakan pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program Tenaga Boleh Baharu (TBB), yang sekali gus membolehkan keterlibatan dan penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam agenda peralihan tenaga.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, kementeriannya sedang menggubal Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga yang bertujuan mengawal selia kecekapan dan konservasi tenaga dalam sektor-sektor industri dan komersial.

“Usaha untuk merealisasikan sasaran peralihan tenaga ini akan dilakukan secara menyeluruh, berdasarkan pertimbangan yang teliti ke atas faktor-faktor keupayaan sistem grid, permintaan bekalan elektrik hijau, nilai limpahan ekonomi serta kesanggupan membayar oleh pengguna.

“Secara asasnya, aspirasi peralihan tenaga ini akan dikecapi melalui pelaksanaan inisiatif -inisiatif berikut iaitu pembangunan loji jana kuasa solar bagi meningkatkan pembekalan tenaga elektrik hijau pada kos yang berpatutan dan memanfaatkan ruang bumbung bangunan atau permukaan air untuk pemasangan sistem solar bagi mengelakkan tebus guna tanah.

“Inisiatif lain ialah menggalakkan kepelbagaian sumber penjanaan tenaga iaitu daripada sumber bukan solar seperti biogas, biojisim dan hidro untuk menjamin sekuriti pembekalan elektrik; membangunkan program khusus untuk membolehkan capaian bekalan elektrik hijau oleh pengguna korporat bagi menarik serta mengekalkan pelaburan bersih dan bernilai tinggi oleh syarikat
syarikat Renewable Energy 100 (RE100).

“Seterusnya, meneroka pembangunan sistem grid serantau di bawah inisiatif ASEAN Power Grid bagi membolehkan integrasi sumber penjanaan TBB yang lebih tinggi melalui jaringan sistem grid negara-negara ASEAN,” katanya ketika berucap di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 pada Jumaat.

Jelas Fadillah lagi, kerajaan pada 26 Januari 2024 telah mengumumkan pelaksanaan 4 program TBB bagi tahun 2024 dengan anggaran nilai pelaburan langsung berjumlah RM12 bilion, yang akan mewujudkan sekurang-kurangnya 36,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

Ujar beliau, program TBB bagi tahun 2024 yang dimaksudkan ialah kuota tambahan berjumlah 400MW di bawah Program Net Energy Metering (NEM) bagi menggalakkan pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan dan pembukaan bidaan bagi pembangunan loji jana kuasa solar di bawah Program Large Scale Solar (LSS) yang baharu dengan tawaran kuota 2,000MW mulai 1 April 2024.

“Pengenalan Program Penjanaan Tenaga Rendah Karbon (Low Carbon Energy Generation Programme) dengan jumlah kuota 400MW bagi membuka peluang penyertaan untuk pembangunan projek penjanaan daripada sumber bukan solar seperti sumber angin, hidro kecil, biogas, biojisim, hidrogen.

“Juga Pelaksanaan Projek Rintis Sistem Penstoran Tenaga (Battery Energy Storage System- BESS) dengan jumlah kapasiti 400MWj
mulai suku tahun pertama 2024,” kata Fadillah.

Mengulas isu sama, beliau memaklumkan dalam konteks pembekalan elektrik, sektor Tenaga Boleh Baharu memainkan peranan yang penting dalam usaha peralihan tenaga selain sebagai sumber tarikan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi baharu negara.

Kata Fadillah, selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran pembebasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih menjelang tahun 2050, kerajaan telah menetapkan komitmen untuk meningkatkan campuran kapasiti Tenaga Boleh Baharu dalam pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 berbanding 25 peratus pada masa ini.

“Usaha ini memerlukan gandingan kerjasama dan keterlibatan pihak kerajaan, swasta dan rakyat bagi memastikan kejayaan kesemua inisiatif dan program TBB mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Justeru beliau menyeru agar pihak berkepentingan, jentera kerajaan serta semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menggalas
tanggungjawab dan amanah dalam memperjuangkan nasib dan mempertingkat sosioekonomi negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat