Oleh Zihan Zari
SHAH ALAM – Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan Projek Naik Taraf Lorong Motosikal di Lebuhraya Persekutuan (FT002), kini sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan berkata Menterinya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi bersama JKR telah turun padang meninjau ke Projek Naik Taraf Lorong Motosikal di FT002 dekat sini, baru-baru ini.
“Projek naik taraf ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur keselamatan khusus bagi laluan motosikal di sepanjang FT002 dengan matlamat untuk meningkatkan tahap keselamatan.
“Selain itu, keselesaan penunggang motosikal, di samping mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan aliran trafik yang lebih teratur dan selamat,”kata kenyataan itu.
Katanya, pelaksanaan projek melibatkan jajaran sepanjang 48.0 kilometer (km) dua hala merangkumi Daerah Klang sepanjang 7.0 km iaitu dari seksyen 10.4 hingga 13.9 serta Daerah Petaling sepanjang 41.0 km dari seksyen 13.9 hingga 34.4.
“Antara skop utama projek adalah kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan di lokasi terpilih, pembaikan kawasan terowong, menaik taraf sistem saliran serta membaik pulih longkang, penggantian penghadang jalan, kerja-kerja mencantas dan menebang pokok, pembaikan railing jambatan serta penambahan papan tanda amaran dan destinasi.
“Kemudahan tempat berteduh khas untuk penunggang motosikal turut dibina di lokasi yang bersesuaian bagi memberikan keselesaan kepada pengguna, ”katanya lagi.
Ujarnya, projek ini melibatkan pemasangan lampu jalan jenis Integrated Solar LED (ISLED) bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta pencahayaan kepada pengguna jalan raya khususnya pada waktu malam.
“KKR sentiasa komited dalam memastikan keterhubungan, aksesibiliti dan mobiliti rakyat terus dipertingkat melalui penyediaan rangkaian jalan motosikal yang berkualiti, selamat dan selesa.
“Penekanan berterusan terhadap pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan raya serta pelaksanaan projek berteraskan rakyat mencerminkan iltizam kerajaan selaras dengan aspirasi Program MyJalan dan nilai teras Malaysia MADANI, ”ujarnya lagi. – SUARA.TV


