JERAM,— Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), sebuah inap desa berkonsepkan komuniti di Kampung Bukit Hijau, Jeram, Selangor turut menawarkan buffet Ramadan sebagai sebahagian aktiviti pelancongan desa yang jarang dilakukan oleh pengusaha lain.
Nusantara Village menawarkan bufet istimewa menyajikan hidangan kampung seperti siput sedut masak lemak, asam pedas, gulai tempoyak ikan patin serta kuih-muih tradisional termasuk kole kacang, seri muka, kuih koci dan kuih lapis yang dibekalkan penduduk kampung.
Terletak kira-kira 50 kilometer dari Kuala Lumpur, Nusantara Village diasaskan oleh jurutera struktur berpengalaman, Fakhrul Nazhi Hanaffi, 46, yang memanfaatkan kepakaran lebih 16 tahun dalam bidang pembinaan untuk membangunkan destinasi pelancongan desa bertaraf resort.
Walaupun berada di kawasan desa, inap desa ini dilengkapi kemudahan moden seperti kolam renang, taman tema air mini serta pelbagai pilihan rumah dan bilik yang sesuai untuk keluarga.
“Ramai pelancong mahu menikmati suasana kampung, tetapi dalam masa sama mereka mahukan keselesaan terutama apabila bercuti bersama keluarga,” katanya.
Fakhrul berkata, antara aspek yang diberi perhatian termasuk bilik tidur yang selesa, tandas bersih dan cantik serta sajian makanan tradisional yang membangkitkan nostalgia desa. Sebahagian penginapan berkonsepkan rumah kayu tradisional, namun tetap dilengkapi kemudahan moden bagi memastikan keselesaan tetamu.
Beliau yang mesra disapa Haji Fakhrul turut menitikberatkan elemen estetika agar setiap sudut Nusantara Village mempunyai nilai visual yang menarik untuk dikongsi di media sosial.
Lebih penting, projek tersebut memberi limpahan manfaat kepada penduduk kampung apabila pihak pengurusan membeli bahan mentah seperti ikan dan sayur-sayuran daripada penduduk tempatan selain menyediakan peluang pekerjaan.
Selain hospitaliti dan gastronomi, Fakhrul yang merupakan lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam UiTM dan Sarjana Kejuruteraan Struktur UTM turut memperkenalkan elemen eko-pelancongan melalui ladang “Golden Melon” berasaskan teknik hidroponik.
“Inisiatif ini bukan sahaja berkongsi kepakaran dengan penduduk kampung, malah memberi pendedahan kepada tetamu mengenai pertanian moden, keselamatan makanan dan nilai komersial hasil tempatan,” katanya.
Beliau yang dibantu isterinya, Farah Wahida Othman sebagai Pengurus Pentadbiran dan Kewangan, turut mengendalikan inap desa di Setia Alam, Batu Pahat dan Muar.
Fakhrul yakin gabungan elemen desa dan kemudahan bertaraf resort di Jeram, Selangor itu mampu menarik lebih ramai rakyat Malaysia melancong dalam negara, sekali gus menyokong agenda VM2026 serta mengurangkan pengaliran ringgit ke luar negara.



