KUALA LUMPUR, 12 November 2026 – Siapa kata untuk menghasilkan video dengan kualiti seperti filem profesional, seseorang perlu memiliki kamera mahal, peralatan penggambaran yang besar serta berada di studio serba lengkap? HONOR nampaknya mahu mengubah persepsi itu menerusi pengenalan HONOR Magic9 Pro Max yang bakal membawa pengalaman sinematografi profesional terus ke dalam genggaman pengguna.
Menariknya, telefon pintar mercu terbaharu HONOR ini bukan sekadar hadir dengan peningkatan kamera biasa, sebaliknya tampil dengan kerjasama bersama ARRI, sebuah nama besar dalam dunia teknologi kamera dan sinematografi profesional. Kerjasama itu membuka peluang kepada pengguna untuk menikmati karakter visual serta sains warna ARRI yang selama ini sinonim dengan produksi filem bertaraf antarabangsa.
Diperkenalkan sempena ulang tahun ke-10 HONOR Magic Series, HONOR Magic9 Pro Max bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 24 November 2026.
Menerusi satu sesi media yang berlangsung baru-baru ini, pihak media diberi peluang mencuba sendiri keupayaan peranti berkenaan menerusi ARRI CINEMA Mode. Tiga set studio imersif disediakan, termasuk suasana yang diinspirasikan daripada filem Dune, Portrait Studio serta rumah kampung tradisional Malaysia.

Pengalaman tersebut memberikan gambaran bagaimana sebuah telefon pintar mampu menghasilkan rakaman dengan karakter visual yang lebih sinematik tanpa memerlukan persediaan penggambaran yang rumit.
Antara perkara paling menarik pada HONOR Magic9 Pro Max pastinya sistem kamera yang dibangunkan dengan fokus terhadap penghasilan imej berkualiti tinggi. Peranti ini dilengkapi sistem pengimejan ARRI Dwi-200MP yang menggabungkan kamera utama dan kamera telefoto masing-masing dengan resolusi 200MP.
Bukan sekadar mengejar angka megapiksel, sistem ini turut dipadankan dengan teknologi penstabilan bertaraf gimbal sehingga 3 darjah bagi kamera utama. Ini pastinya membantu pengguna mendapatkan rakaman lebih stabil, terutama ketika merakam sambil bergerak atau dalam keadaan pencahayaan yang mencabar.
Keupayaan tersebut turut disokong HONOR H1 Imaging Chip yang dibangunkan menggunakan proses 6nm. Cip ini memproses imej secara masa nyata pada tahap RAW, sekali gus membantu mengekalkan lebih banyak perincian pada bahagian terang dan gelap dalam sesuatu rakaman.
Namun, keistimewaan utama telefon ini terletak pada penggunaan teknologi warna ARRI. Melalui sokongan ARRI LogC3 Curve, pengguna boleh mendapatkan peralihan warna lebih semula jadi, tona kulit yang lebih tepat serta perincian visual yang lebih baik ketika berdepan perubahan pencahayaan.
Bagi mereka yang gemar mengedit video, sokongan rakaman APV 10-bit dengan subsampling kroma 4:2:2 turut memberikan lebih banyak ruang untuk proses suntingan selepas rakaman. Pengguna boleh melakukan pelarasan warna dengan lebih fleksibel tanpa terlalu banyak menjejaskan kualiti visual.
Lebih menarik, ARRI CINEMA Mode menyediakan pelbagai kawalan kreatif dalam satu paparan. Pengguna boleh memilih ARRI Looks, profil lensa, nisbah paparan sinematik 2.39:1 serta membuat kawalan mikrofon secara langsung ketika merakam.
Dari sudut warna pula, HONOR Magic9 Pro Max membolehkan pengguna melihat pratonton ARRI Looks secara masa nyata. Mereka yang mahukan hasil lebih tersendiri juga boleh mengimport LogC3 LUTs daripada pelbagai pilihan pihak ketiga, sekali gus memberikan kebebasan untuk menghasilkan mood dan identiti visual mengikut kreativiti masing-masing.
Bukan kamera sahaja yang diberi perhatian kerana HONOR turut melihat kepentingan audio dalam menghasilkan kandungan berkualiti. Peranti ini hadir dengan teknologi mikrofon berarah bertaraf sinematik yang diinspirasikan daripada mikrofon shotgun profesional yang biasa digunakan dalam produksi filem.
Terdapat empat pilihan pratetap audio pintar iaitu Long Range, Close Up, Voice Isolation dan Voice Boost. Menariknya, mod Long Range dikatakan mampu merakam suara dari jarak sehingga 20 meter, manakala Professional Custom Mode membolehkan pengguna membuat pelarasan audio secara manual.
Untuk pengalaman mendengar pula, sistem Stereo Dual 1216 Speakers bersama ruang akustik 8cc direka bagi menghasilkan bunyi lebih bertenaga, bass yang jelas serta julat dinamik lebih luas.
Satu lagi ciri yang mungkin menarik perhatian pencipta kandungan ialah fungsi 4K LiveVideo. Teknologi ini membolehkan setiap detik yang dirakam diubah menjadi rakaman bergerak selama tiga saat pada resolusi sehingga 4K.

Pengguna juga boleh menggunakan ARRI Looks secara terus pada LiveVideo serta memilih nisbah paparan 16:9 atau 2.39:1 bagi menghasilkan gaya rakaman yang lebih dramatik. Ciri ini pastinya memberikan pilihan tambahan kepada mereka yang gemar menghasilkan kandungan kreatif untuk media sosial.
Bagi pengguna yang gemar merakam subjek dari jarak jauh, HONOR turut menyediakan sokongan aksesori teleconverter khusus 200mm dan 500mm. Dengan aksesori ini, jarak fokus boleh diperluaskan sehingga 14,000mm, sekali gus memberi lebih banyak peluang untuk merakam hidupan liar, acara sukan mahupun persembahan konsert.
HONOR Magic9 Pro Max juga boleh digandingkan dengan HONOR SmallRig Mobile Video Kit serta expansion cage bagi membantu menghasilkan rakaman pegang tangan yang lebih stabil dan memberikan fleksibiliti dari segi sudut penggambaran.
Secara keseluruhannya, HONOR Magic9 Pro Max dilihat sebagai satu langkah menarik dalam usaha membawa teknologi penghasilan filem profesional ke dunia telefon pintar. Kerjasama dengan ARRI bukan sekadar menambah nama besar pada spesifikasi peranti, tetapi turut memberikan penekanan terhadap aspek warna, audio dan kawalan kreatif yang semakin penting dalam dunia penciptaan kandungan hari ini.
Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut, HONOR Magic9 Pro Max akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 24 November 2026, jam 3 petang menerusi siaran langsung di Facebook rasmi HONOR Malaysia.
Jadi, sama ada anda seorang pencipta kandungan, peminat fotografi atau sekadar gemar merakam momen harian, kehadiran HONOR Magic9 Pro Max pastinya sesuatu yang menarik untuk dinantikan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Facebook rasmi HONOR Malaysia atau melayari laman web “www.honor.com/my” (https://www.honor.com/my).



