Paras takungan air tiga empangan di Kedah menurun – MADA

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Gelombang cua­ca panas dan kemarau yang melanda di Kedah ketika ini mula memberi kesan ketara terhadap paras takungan air di tiga empangan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), yang mencatatkan penurunan kepada 47.81 peratus (%) pada Khamis lalu berbanding 73.74 % bagi tempoh sama tahun 2025.

MADA dalam kenyataan memaklumkan, kadar itu menunjukkan penurunan kira-kira 25.9 %, namun bekalan air masih mencukupi untuk keperluan pengairan pertanian, domestik dan industri.

“Empangan Pedu telah merekodkan paras takungan sebanyak 45.9 % (401,585 ekar kaki) diikuti Empangan Muda sebanyak 40.2 % (50,250 ekar kaki) manakala Empangan Ahning pula sebanyak 59.61 % (132,932 ekar kaki).

“Walaupun paras takungan mencatatkan penurunan, MADA telah melaksanakan pengurusan air secara berhemah, terkawal dan berjadual bagi memastikan kelangsungan keperluan pengairan pertanian sehingga tamat musim penanaman semasa.

“Selain itu, bekalan air bagi kegunaan domestik dan industri juga masih berada pada tahap mencukupi,” kata kenyataan itu.

Katanya, bagi persediaan menghadapi musim penanaman padi 1/2026 yang dijangka bermula pada April ini, MADA meramalkan paras takungan Empangan Pedu akan berada pada tahap 53.2 % (465,800 ekar kaki) dengan pelepasan air digunakan sebagai sumber pengairan sokongan.

“Dalam tempoh sama, peralihan monsun dijangka berlaku dan berpotensi membawa hujan yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber tambahan bekalan pengairan, ”katanya lagi.

Ujarnya, MADA akan terus melaksanakan pemantauan paras empangan serta keadaan cuaca secara berterusan dan memberi jaminan pengurusan sumber air akan terus dilaksanakan secara berkesan bagi menjamin kelangsungan pengeluaran padi negara.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di tiga negeri iaitu Johor, Kedah dan Perak mulai Rabu hingga Ahad ini.

“Operasi ini akan dilaksanakan berikutan paras air beberapa empangan di negeri tersebut semakin menyusut disebabkan cuaca panas yang berterusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sesi Rumusan dan Penutupan Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026, di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu pada Selasa. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat