KUALA LUMPUR – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini melayangkan surat terbuka kepada ahli Pas Perlis sekali gus menjelaskan justifikasi situasi Pas di negeri Indera Kayangan itu susulan polemik perubahan tampuk pemerintahan kerajaan negeri itu daripada Menteri Besar Pas kepada Bersatu.
Hadi menuntut ahli Pas Perlis bermuhasabah diri sendiri dengan adil dan mengingatkan betapa pentingnya untuk menjaga perpaduan dalam jemaah, memastikan pergerakan jemaah tidak terhenti dan musuh gagal mengambil kesempatan.
Tegas Ahli Parlimen Marang itu, perjuangan harus tetap bergerak, kerana dalam jemaah adanya ramai ahli yang terus melaksanakan kewajipan tanpa memikirkan jawatan dan habuan, hanya ikhlas kerana Allah.
“Setelah mendengar, menyelidik dan meneliti segala perkara yang berlaku, saya titipkan pandangan dan nasihat ikhlas saya kepada sekalian ahli Pas Perlis.
“Pas Pusat yang dipilih dan dilantik oleh Muktamar Tahunan Pas Pusat berkuasa bagi melaksanakan pentadbiran yang tertinggi dalam Pas yang tidak berlawanan dengan dasar dan hukum tertinggi, mengikut Fasal 39(1) dan Fasal 39(9) Perlembagaan Pas. Adapun pelaksanaan dasar hukum tertinggi Pas iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta Ijmak ‘Ulamak dan Qias, dipertanggungjawabkan kepada Majlis Syura ‘Ulamak mengikut Fasal 8(1) Perlembagaan Pas yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dewan Ulamak Pas Pusat, Dewan Pemuda Pas Pusat, Dewan Muslimat Pas Pusat dan dilantik anggota tambahan oleh Majlis Syura Ulamak itu sendiri.
“Maka, Majlis Syura Ulamak tiada kaitan dengan pentadbiran selagi tidak bercanggah dengan dasar tertinggi.
“Manakala, Pas Pusat diwajibkan mentadbir dan melantik jawatan-jawatan di semua peringkat dan di bawah pentadbirannya dan mengawasi Kerajaan Negeri. Termasuk jawatan Pesuruhjaya Pas Negeri, Menteri Besar dan lain-lain yang wajib ditaati arahannya,” jelas Hadi.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memaklumkan bahawa, Pas Pusat telah memilih Pesuruhjaya Pas Negeri Perlis daripada kalangan ahli Majlis Syura Ulamak, jawatan yang paling bersih dalam Pas.
“Kita telah melakukan tabayyun terhadap aduan daripada Perlis sejak awal menerima pengaduan selepas baharu sahaja mendapat kemenangan. Aduan salah laku akhlak dan pentadbiran.
“Beberapa orang daripada Pas Pusat dihantar ke Perlis bagi melakukan tabayyun dan para pemimpin Pas Kawasan dijemput datang untuk mendengar pengaduan secara berdepan serta siasatan yang lain.
“Adapun tuduhan akhlak, tidak ada saksi yang adil dikemukakan, hanya cerita yang dicipta dan akhirnya diketahui puncanya.
“Adapun pertemuan dengan para pemimpin Pas Kawasan di Pejabat Agung mendedahkan sifatnya yang tidak memenuhi sifat-sifat ahli parti Islam yang bertarbiah. Secara tidak segan melahirkan tidak berpuas hati terhadap beberapa keputusan parti dan kepimpinan negeri.
“Antaranya – Apabila sebilangan mereka menonjolkan diri masing-masing paling layak memegang jawatan tetapi tidak dilantik. Sifat yang disebut oleh Rasulullah SAW tidak layak diberi jawatan.
“Juga laporan berlakunya lobi-melobi yang tidak berakhlak dalam mesyuarat agung sebagai tindakan merosakkan dalaman Pas dan menjatuhkan Kerajaan Negeri.
“Tidak memahami kelemahan peringkat kerajaan baharu yang dapat diselesaikan mengikut proses pentadbiran yang dapat dibetulkan serta ada masalah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang terbatas.
“Tidak menghormati hak Pesuruhjaya dalam bertindak menyelesaikan masalah dan menentukan keputusan secara syura yang diberikan oleh al-Quran.
“Tidak beristiqamah menghadapi tekanan pihak luar dan tidak mempertahankan perjuangan parti, sehingga melaksanakan langkah daripada luar jemaah yang bercanggah dengan perjuangan parti yang menentang salah laku dan penyelewengan yang mahu merosakkan kerajaan negeri.
“Berakhir dengan menyokong tindakan khianat menjatuhkan Kerajaan Pas sehingga diberi kepada pihak yang lain, kawan yang tidak bersetia kawan.
“Kesimpulannya bahawa kepercayaan kami kepada Pesuruhjaya Pas yang dilantik sangat tinggi. Apa yang berlaku ialah tidak wala’ kepada parti dan tidak taat kepada pemimpin yang dilantik oleh pimpinan Pas Pusat tanpa alasan yang sebenar,” jelas beliau.



