SHAH ALAM – Dalam keadaan keletihan selepas menempuh perjalanan jauh dari Pantai Timur ke Selangor, seorang ibu muda bersama tiga anak kecil terpaksa mencari tempat berlindung selepas berdepan masalah rumah tangga.
Lebih menyedihkan, wanita itu tiba tanpa mempunyai perancangan tempat tinggal, malah perlu memikirkan tempat untuk berteduh sambil menguruskan anak-anaknya yang masih kecil.
Dalam keadaan terdesak, dia akhirnya mendapatkan bantuan di pejabat Zakat Selangor dengan harapan ada pihak yang sudi menghulurkan pertolongan.
Menerusi perkongsian di Facebook Lembaga Zakat Selangor semalam, kejadian itu berlaku ketika waktu operasi kaunter sudah berakhir pada lewat petang dan sudah ditutup.
Bagaimanapun, kehadiran ibu muda itu bersama tiga anaknya mendapat perhatian Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor yang bertugas selama 24 jam.
Pasukan berkenaan segera menyantuni keluarga itu sebelum menjalankan perbualan dan siasatan bagi memahami situasi sebenar yang dihadapi wanita terbabit.
Hasil semakan mendapati wanita itu mengambil keputusan meninggalkan kediamannya bersama anak-anak selepas berdepan masalah rumah tangga, tanpa sempat mengatur tempat tinggal baharu.
Pihak SSU kemudian mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi pihak berkuasa serta agensi zakat negeri berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Selepas memahami keadaan wanita itu, pasukan berkenaan mengambil pendekatan menjadi penghubung dan memujuknya supaya kembali ke pangkuan keluarga.
Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila wanita berkenaan bersetuju untuk pulang bersama anak-anaknya.
SSU seterusnya menguruskan perjalanan pulang mereka sebelum wanita itu dirujuk kepada pihak berkuasa dan agensi zakat berkaitan untuk tindakan serta bantuan susulan yang bersesuaian.
Menurut perkongsian itu, insiden berkenaan menunjukkan bahawa golongan yang memerlukan bantuan tidak semestinya berdepan kesulitan kewangan semata-mata, sebaliknya ada yang memerlukan perlindungan, bimbingan dan sokongan ketika berhadapan krisis kehidupan.
“Bagi kami, setiap aduan perlu diteliti dan setiap individu perlu disantuni mengikut keadaan mereka,” menurut perkongsian itu.
Zakat Selangor turut menzahirkan penghargaan kepada pembayar zakat yang terus menunaikan tanggungjawab masing-masing kerana amanah itu membolehkan pihaknya sentiasa bersedia membantu golongan memerlukan, termasuk di luar waktu operasi kaunter.
Kisah berkenaan menjadi peringatan bahawa di sebalik setiap permohonan bantuan, mungkin ada sebuah keluarga yang sedang berusaha mencari jalan keluar daripada kesukaran hidup dan memerlukan seseorang untuk menghulurkan tangan.


