MELAKA – Pasangan kembar wanita orang kurang upaya (OKU) kerdil berusia 63 tahun teruja menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 hari ini, sambil berharap kerajaan yang bakal dibentuk memberikan lebih perhatian kepada kebajikan rakyat.
Lau Song Kiow dan Lau Song Ghi, yang masing-masing berketinggian kira-kira 80 sentimeter, hadir bersama-sama ke pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim di sini pada pukul 10.15 pagi.
Kedua-duanya merupakan pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.
Song Kiow berkata beliau sudah beberapa kali mengundi dan gembira kerana masih berpeluang melaksanakan tanggungjawab itu pada pilihan raya kali ini.
“Kami mahukan kerajaan yang lebih baik. Sesiapa pun yang akan jadi (wakil rakyat) tidak kisah, asalkan mereka mahu menjaga rakyat, mahu menjaga kami,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat mengundi berkenaan.
Pasangan kembar itu berharap kerajaan yang bakal dibentuk dapat menjaga kebajikan rakyat serta memastikan kehidupan masyarakat menjadi lebih baik.
Song Kiow turut menyuarakan harapan supaya kerajaan baharu memberikan lebih perhatian kepada golongan OKU bagi memastikan keperluan dan hak mereka terus terbela.
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 675,166 pengundi layak menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi 28 kerusi DUN Melaka hari ini. – Bernama


