Permintaan luar biasa, Amir Masdi hadiahkan peminat dua malam AM:PM SHOWCASE

Belum sempat peminat menarik nafas lega selepas tiket AM SHOWCASE habis terjual, satu lagi berita gembira hadir apabila Amir Masdi mengumumkan penambahan slot persembahan bagi memenuhi permintaan luar biasa daripada peminatnya.

Selepas sambutan hangat untuk malam pertama, penyanyi yang popular menerusi lagu Nur Cinta itu bakal mengadakan persembahan selama dua malam berturut-turut di Zepp Kuala Lumpur, iaitu pada 19 dan 20 Disember 2026.

Penambahan satu lagi malam ini pastinya menjadi peluang keemasan buat mereka yang terlepas mendapatkan tiket sebelum ini. Lebih menarik, keputusan tersebut juga selari dengan hasrat Amir sendiri yang sememangnya menginginkan satu lagi malam untuk berkongsi pentas dan momen istimewa bersama peminat.

Dianjurkan oleh ULTIMATE MEDIA dengan kerjasama BACKSTAGE EVENTS serta sokongan MENARANETWORK, AM SHOWCASE bukan sekadar sebuah persembahan muzik biasa, sebaliknya menjadi ruang untuk peminat mengenali sisi Amir dengan lebih dekat, bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga seorang penghibur dan pengkarya yang mempunyai perjalanan seni tersendiri.

Bagi Amir, setiap lagu yang dilahirkan mempunyai cerita, begitu juga setiap pendengar yang menyimpan kenangan tersendiri bersama melodi dan lirik yang pernah menyentuh hati mereka.

Justeru, menerusi AM SHOWCASE, dia mahu mencipta sebuah malam yang bukan sekadar dipenuhi nyanyian dan sorakan, tetapi turut membawa peminat menyelami kisah di sebalik lagu-lagu yang dipersembahkan.

“Saya selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri, dan setiap peminat juga ada cerita yang menghubungkan mereka dengan lagu-lagu tersebut. Sebab itu saya mahu AM SHOWCASE menjadi sebuah malam yang cukup istimewa.

“Saya mahu semua yang hadir bukan sekadar menonton persembahan, tetapi pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan.

“Kami sedang menyiapkan pelbagai elemen baharu supaya pengalaman pada malam itu benar-benar berbeza daripada persembahan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.

Bagi penyanyi berusia 30 tahun itu, persembahan berkenaan juga merupakan tanda penghargaan kepada peminat yang tidak pernah jemu berdiri di belakangnya sejak awal perjalanan dalam industri muzik.

Selepas melalui pelbagai fasa dalam kerjaya seni, Amir kini terus membuktikan kemampuannya sebagai antara penyanyi lelaki tempatan yang mempunyai kualiti vokal dan persembahan tersendiri. Malah, pencapaiannya sebagai finalis Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) menjadi satu lagi bukti perjalanan seninya yang semakin berkembang.

Sementara itu, Pengarah Projek ULTIMATE MEDIA, Ekmal Md Nor berkata, keputusan menambah satu lagi malam dibuat selepas mengambil kira sambutan luar biasa serta permintaan daripada peminat yang tidak sempat mendapatkan tiket bagi persembahan pertama.

Menurutnya, pihak penganjur tidak mahu ada peminat yang terlepas peluang menyaksikan sendiri persembahan istimewa Amir, sekali gus mengambil keputusan untuk membuka slot tambahan.

“Disebabkan permintaan yang tinggi dan untuk tidak mengecewakan hati peminat tegar Amir, kami mengambil keputusan untuk meneruskan showcase ini buat hari kedua.

“Tiket untuk slot tambahan sudah mula dijual pada malam ini, Sabtu, 14 November, jam 9.30 malam. Jadi, peminat Amir jangan terlepas peluang mendapatkannya.

“Showcase eksklusif ini akan berlangsung selama dua jam dengan kira-kira 22 buah lagu hit Amir bakal dipersembahkan kepada peminat yang hadir,” katanya.

Mengulas pemilihan Amir sebagai artis utama, Ekmal menyifatkan penyanyi itu mempunyai pakej lengkap sebagai seorang penghibur, selain konsisten menghasilkan karya berkualiti dan memberikan persembahan bertenaga di atas pentas.

Menerusi AM SHOWCASE, pihak penganjur mahu membawa pengalaman yang lebih dekat dan bersifat peribadi, berbeza daripada konsert berskala besar yang lazimnya menumpukan kepada produksi megah dan kapasiti penonton yang ramai.

Setiap aspek termasuk susunan muzik, visual serta pengalaman penonton dirancang dengan teliti bagi memastikan peminat benar-benar dapat menikmati persembahan tersebut.

Pihak penganjur turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Nova Music bagi memastikan aspek penerbitan dan teknikal berjalan lancar, sekali gus memberikan pengalaman terbaik kepada semua yang hadir.

Pemilihan Zepp Kuala Lumpur juga dilihat tepat kerana ruang persembahannya yang lebih intim membolehkan Amir berinteraksi secara lebih dekat dengan peminat. Dalam suasana sebegitu, setiap bait lagu, sorakan dan detik di atas pentas pastinya terasa lebih bermakna.

Bagi peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam istimewa itu, tiket AM SHOWCASE boleh didapati menerusi platform ILASSO TICKETS dengan harga bermula RM111 bagi kategori CAT 3 (Standing).

Turut ditawarkan ialah PREMIUM SEAT (Seated) pada harga RM350, NORMAL SEAT (Seated) RM228, CAT 1 (Seated) RM278 dan CAT 2 (Seated) RM218.

Bagi mereka yang mahukan pengalaman lebih eksklusif bersama keluarga atau rakan-rakan, pilihan VIP BOX (Seated) turut disediakan pada harga RM6,500 bagi setiap kotak yang boleh memuatkan sehingga 10 orang.

Dengan 22 lagu hit, dua malam persembahan dan pelbagai elemen istimewa yang sedang dirancang, AM SHOWCASE pastinya menjadi satu lagi ruang untuk Amir dan peminat mencipta kenangan bersama.

Ada lagu yang pernah menjadi teman ketika jatuh cinta, ada melodi yang mengubat luka dan ada juga lirik yang seakan-akan memahami perjalanan hidup seseorang. Mungkin itulah keistimewaan muzik, ia sentiasa menemukan manusia dengan kenangan yang tidak pernah benar-benar hilang.

Jadi, buat peminat Amir Masdi, jangan tunggu sehingga tiket kembali habis terjual. Dapatkan tiket anda menerusi ILASSO TICKETS dan bersedia untuk bertemu Amir di Zepp Kuala Lumpur pada 19 dan 20 Disember ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat