KUALA LUMPUR – Malaysia dan Republik Perancis bersetuju meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kerjasama ekonomi, teknologi dan pertahanan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan hubungan itu menjadi satu mercu tanda penting menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia dan Perancis pada tahun depan.
Beliau berkata, perbincangan dua hala memberi tumpuan kepada peluasan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor serta mineral kritikal.
Menurutnya, kedua-dua negara turut membincangkan kerjasama dalam peralihan tenaga, pendidikan dan pembangunan bakat, selain memperkukuh hubungan kebudayaan menerusi pertukaran kesusasteraan dan pemikiran falsafah.
Anwar berkata, Malaysia turut mengalu-alukan lebih banyak pelaburan berkualiti dari Perancis, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
“Malaysia juga mengalu-alukan lebih banyak pelaburan berkualiti daripada Perancis, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik serantau dan antarabangsa, khususnya tragedi kemanusiaan di Palestin serta konflik di Ukraine.
Katanya, kedua-dua negara menegaskan keperluan mendesak untuk menamatkan konflik, menegakkan keadilan dan menghormati undang-undang antarabangsa.
Anwar yakin hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Perancis akan terus diperkukuh menerusi peningkatan kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Saya menaruh sepenuh keyakinan bahawa persahabatan yang sekian lama terjalin ini akan terus diperkukuh, sekali gus membawa manfaat nyata kepada rakyat dan menyumbang kepada kemakmuran kedua-dua negara,” katanya.



