KUALA LUMPUR, – Syarikat keselamatan siber global, Kaspersky menyambut baik langkah Kementerian Digital Malaysia untuk membentangkan strategi penguatkuasaan jenayah siber nasional kepada Jemaah Menteri menjelang akhir tahun ini.
Menurut Ketua Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Kaspersky bagi Asia Pasifik dan Jepun, Heng Lee, langkah ini mencerminkan kematangan dasar keselamatan digital negara dan merupakan usaha penting dalam mewujudkan ekosistem digital yang selamat dan dipercayai.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada 15 Julai lalu mengumumkan bahawa satu rang undang-undang jenayah siber yang bakal menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.
“Penekanan terhadap penguatkuasaan bersama strategi digital yang menyeluruh adalah tepat pada masanya,” ujar Heng Lee sambil menambah bahawa Kaspersky melihat potensi besar untuk Malaysia melaksanakan rangka kerja jenayah siber yang merangkumi definisi kesalahan yang jelas, prosedur forensik digital yang kukuh serta elemen kepercayaan digital.
Berdasarkan Laporan Rangkaian Keselamatan Kaspersky 2024, Malaysia merekodkan 27.9 juta cubaan ancaman berasaskan web, termasuk lebih 4 juta ancaman siber pada peranti sektor perniagaan dan 64,778 kes pemancingan data kewangan (financial phishing) yang menyasarkan organisasi tempatan.
“Angka-angka ini jelas menunjukkan keperluan segera untuk rangka kerja penguatkuasaan dan perundangan yang mampu menangani landskap ancaman siber yang semakin kompleks,” tegasnya.
Tambah Heng, jenayah siber kini bukan lagi isu teknikal semata-mata, sebaliknya menjadi isu keselamatan negara, ekonomi dan sosial. Maka itu, undang-undang yang kukuh, penguatkuasaan berpandukan kepakaran serta kerjasama berterusan merupakan kunci ketahanan digital sesebuah negara.
Malaysia dijangka menjadikan ekonomi digital sebagai pemacu utama pertumbuhan negara dengan sumbangan kepada KDNK mencecah 25.5% menjelang 2025, menurut unjuran rasmi.-SUARA.TV



