KUALA LUMPUR – Krisis di Negeri Sembilan masih berkisar kepada menegak benang basah kerana tidak ada siapa yang mahu mengalah, tetapi tidak ada siapa pula yang mahu buat kata putus.
Justeru, Datuk Puad Zarkashi berkata, sebab itu ada kalanya menang besar boleh bawa musibah.
“Kita jadi sombong dan tidak bersedia untuk bertolak ansur. Malangnya musibah itu terpalit bukan sahaja kepada parti sendiri tetapi kepada rakyat.
“Sebab itu apabila Datuk Ismail Lasim petik khutbah Jumaat pada 16 Oktober, “Khatib berpesan, orang yang benar-benar menghayati makna sujud akan berusaha menjauhi sifat sombong, kebencian dan kezaliman” maka apakah itu umpama “menepuk air di dulang tetapi terpercik ke muka sendiri”, kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam hantaran di Facebook beliau pada Isnin.
Menurut Puad, beliau masih tertarik untuk berhujah mengenai dakwaan seorang Ketua Bahagian Umno mengenai krisis adat dan perlembagaan di Negeri Sembilan.
“Ini ungkapan beliau, “you should advice PMX, behave like stateman not like a sore loser”. Kalau ikut terjemahan mudah, “The sore loser” bermaksud “tidak boleh menerima kekalahan atau marah apabila kalah”.
“Pada saya dakwaan itu kurang tepat. PKR kalah teruk di Sabah dan di Johor. Di Negeri Sembilan bekas MB daripada PKR turut kalah. Tetapi apa tindak balas keras PMX berbanding apa yang Tun M buat kepada Umno.
“BN kekal dalam kerajaan perpaduan. Tidak ada Menteri BN dan ahli politik Umno yang hilang jawatan GLC kerana tindak balas kekalahan di Negeri Sembilan,” katanya.


