KUALA LUMPUR — Dalam dunia hiburan yang seringkali didominasi oleh persembahan yang mengutamakan glamor semata, Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 tampil sebagai sebuah naskhah segar menyatukan muzik, emosi dan inspirasi dalam satu pentas. Festival ini bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya ia adalah ruang terapi kolektif, satu peluang untuk generasi muda menyelami muzik secara lebih mendalam dan bermakna.
Dianjurkan oleh Expoindo bersama rakan tempatan, Thrive, RIF bakal berlangsung pada 17 Ogos 2025 (Ahad) di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Festival ini menampilkan dua nama besar dari Indonesia, Tulus dan Juicy Luicy, tetapi lebih daripada itu, ia menjanjikan pengalaman jiwa yang jarang ditawarkan dalam konsert konvensional.
“Kami mahu lebih daripada sekadar konsert. Kami mahu setiap lagu menjadi refleksi, setiap bait menjadi pencetus emosi dan setiap persembahan menjadi ruang penyembuhan,” kata Johnathon Wong dari BBO Events.
RIF 2025 diatur dalam dua sesi:
- Sesi Petang (1.30 PM) menampilkan Tulus dengan pesona vokalnya yang bersih, tulus dan penuh makna. Lagu-lagu beliau seperti “Monokrom”, “Pamit” dan “Hati-Hati di Jalan” sering menjadi ruang kontemplatif buat pendengar — dan kali ini, ia bakal dialami secara langsung dalam suasana intim dan reflektif.
- Sesi Malam (7.30 PM) pula mengambil nada yang lebih dinamik dengan kehadiran Juicy Luicy, kumpulan pop alternatif yang dikenali dengan naratif kehidupan realistik dan emosi yang kuat. Lagu-lagu seperti “Lantas” dan “Lampu Kuning” menjadikan mereka suara bagi generasi yang sedang mencari arah dan makna dalam kehidupan moden.
Apa yang membezakan RIF daripada festival lain ialah elemen perkongsian dan penceritaan. Setiap persembahan akan diselitkan dengan cerita di sebalik lagu, proses kreatif dan inspirasi sebenar daripada para artis. Penganjur menyifatkannya sebagai satu bentuk “ruang inspirasi”, bukan sekadar ruang hiburan.
Menurut Bram Tulong dari Expoindo, “Setiap lagu yang dipilih untuk festival ini dipenuhi makna. Kami mahu peminat bukan hanya menyanyi bersama, tapi juga menangis, tersenyum, merenung dan akhirnya pulang dengan semangat baru.”

Tiket untuk sesi petang bersama Tulus telah mula dijual sejak 17 Julai melalui aplikasi BBO EVENTS dan laman rasmi www.ri-fest.com/kualalumpur. Harga tiket adalah seperti berikut:
- VVIP – RM1028
- VIP – RM628
- Gold – RM458
- Platinum – RM318
- Silver – RM268
Menariknya, pemegang tiket untuk sesi Juicy Luicy boleh menaik taraf (upgrade) tiket mereka terus melalui aplikasi untuk menikmati keseluruhan pengalaman RIF dalam satu hari.
Lebih daripada sekadar festival tahunan, RIF diimpikan sebagai platform hubungan serantau antara Malaysia dan Indonesia bukan hanya dalam bidang muzik, tetapi sebagai jambatan budaya dan nilai. Expoindo merancang untuk membawa festival ini ke bandar-bandar utama lain di Malaysia pada masa hadapan.
“Muzik adalah bahasa yang menyatukan. Melalui RIF, kami ingin memperkukuh komuniti dan menyebarkan nilai positif kepada anak muda di rantau ini,” jelas Bram lagi.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, peminat boleh mengikuti @rifest.my di Instagram dan TikTok. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada festival yang bukan hanya didengar tetapi dirasai sepenuhnya.



