Pan Borneo Sabah sepatutnya siap 5 tahun lalu, sudah RM 10.5 bilion dibelanja- PAC mulakan siasatan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memulakan siasatan berhubung pengurusan, tatakelola kewangan dan pelaksanaan fizikal Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata skop siasatan itu akan memperhalusi isu kelewatan pembinaan projek terbabit walaupun terdapat pelbagai jawatankuasa pemantauan sudah ditubuhkan di peringkat negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata, antara perkara dipersoalkan PAC ialah kewajaran sistem pemantauan sedia ada yang meluluskan pembayaran projek itu, sedangkan kemajuan fizikal di lapangan tidak selari jumlah dana awam yang sudah dibelanjakan.

Susulan itu, katanya, PAC akan memanggil saksi daripada Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk JKR Sabah serta agensi dan pihak berkaitan bagi memberikan keterangan dalam prosiding berkenaan.

“PAC tidak akan teragak-agak untuk merujuk dapatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut, jika prosiding ini menemukan sebarang indikasi salah laku, rasuah atau penyelewengan kuasa.

“PAC juga komited menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh demi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi peraturan demi mencapai objektif pembangunan negara,” katanya pada sidang media di Parlimen, lapor BH pada Isnin.

Mas Ermieyati berkata, prosiding itu dibuat selari pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026, antaranya mengenai pelbagai kelemahan ketara dari segi pengurusan dana awam dan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu.

Laporan sama, katanya, turut mendedahkan ketidakpatuhan terhadap peraturan dan tatacara kewangan, perbelanjaan berlebihan akibat pengurusan projek lemah serta kelewatan melampau, terutama bagi projek memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Beliau berkata, projek LPB Sabah Fasa 1 membabitkan 35 pakej kerja dengan jarak 706 kilometer (km) dan sepatutnya dilaksanakan selama 69 bulan, selain dijangka siap sepenuhnya pada hujung 2021.

“Namun, hanya empat pakej kerja atau 11.4 peratus sudah disiapkan, manakala baki 31 pakej kerja bernilai RM16.319 bilion masih dalam pelaksanaan walaupun projek ini sepatutnya siap lima tahun lalu.

“Sembilan daripada jumlah pakej kerja berkenaan ialah projek sakit dan 13 pakej kerja mengalami kelewatan berbanding jadual ditetapkan. Hanya sembilan pakej kerja mendahului jadual.

“Lebih mengejutkan, RM10.547 bilion iaitu 94.6 peratus daripada peruntukan disalurkan bernilai RM11.153 bilion dibelanjakan antara 2016 hingga 31 Мас lalu, walaupun kemajuan fizikal projek ini jauh ketinggalan.

“Selain itu, tarikh siap projek LPB Sabah Fasa 1 dilanjutkan hingga 2030 akibat kelemahan perancangan projek.

“Malah, kos kontrak keseluruhannya meningkat kepada RM18.394 bilion, berbanding RM17.910 bilion,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat