Oleh Zihan Zari
KUCHING – Politeknik Kuching Sarawak (PKS) terus memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan industri menerusi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Industri (JPI) 2026 yang berlangsung di ABM Fujiya Berhad, dekat sini baru-baru ini.
PKS dalam kenyataan berkata, penganjuran mesyuarat di luar kampus ini menjadi manifestasi komitmen utuh antara PKS dan pemegang taruh industri tempatan mahupun antarabangsa dalam merangka kurikulum yang relevan, meningkatkan kompetensi pelajar, serta memenuhi keperluan pasaran kerja masa depan.
“Antara fokus utama penganjuran mesyuarat tahun ini termasuklah pengukuhan pencapaian kadar kebolehpasaran graduan PKS yang kekal konsisten melebihi 90 peratus (%).
“Kualiti graduan PKS mendapat pengiktirafan daripada pihak industri yang mengklasifikasikan pengajian di politeknik sebagai High-Level TVET dengan keupayaan kemahiran praktikal yang setaraf dengan lulusan sarjana muda.
“Turut dibincangkan bagaimana kedua-dua pihak boleh memainkan peranan masing-masing dalam memastikan agenda TVET ini selari dengan tuntutan semasa yang seiring dengan perkembangan teknologi kepintaran buatan (AI) dari sudut kurikulum berdasarkan maklum balas pihak industri, ”katanya.
Katanya lagi, pihak industri menzahirkan komitmen berterusan untuk menyerap graduan diploma PKS bagi mengisi keperluan tenaga kerja.
“Kerjasama strategik ini turut disokong melalui pelaksanaan program pendedahan awal seperti Industrial Expert Enrichment Program (IEEP), sesi perkongsian pakar, serta latihan praktikal berstruktur di premis industri.
“PKS kekal komited memastikan kesemua program yang ditawarkan menerima akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Akreditasi Kejuruteraan Teknologi (ETAC), di samping mengekalkan tiga pengiktirafan ISO antarabangsa bagi jaminan kualiti pendidikan bertaraf dunia, ”ujarnya
Ujarnya, melalui sinergi berterusan ini, PKS dan Jawatankuasa Penasihat Industri bertekad untuk melahirkan modal insan mahir, berdaya saing, dan berketrampilan tinggi demi menyokong pembangunan ekonomi dan industri di Sarawak serta Malaysia.
Mesyuarat JPI dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Jurukur Perkasa Sdn.
Bhd., Sr. Hj. Masri Juni @ Mohamad Juni, bersama Pengarah PKS, Mohamad Nazri Ismail.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan ABM Fujiya Berhad, Dato’ Alan Tay Tze Poh;
Pengurus Kualiti, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Ir. Sim Hui Kheng; Regional Talent
Acquisition Manager, Schlumberger WTA (M) Sdn. Bhd. (SLB), Siti Baharin; Managing
Partner, Idris Ibrahim & Co, Hj. Wan Idris Wan Ibrahim; Pengarah, Thian Sheng Automobile & Services Sdn. Bhd, Teo Yong Hua; Pengarah Urusan, Kejuruteraan A.U.M Sdn. Bhd, Ts. (Tc.) Mohammad Hamzah Man; Ketua Pegawai Eksekutif, CSK Murni Services Sdn. Bhd., Datuk Dr. Ts. Sivakumar; barisan pengurusan PKS dan panel-panel industri profil tinggi. – SUARA.TV



