KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan wang hasil penggubahan wang haram disembunyikan di akaun pesisir pantai luar negara dan Labuan ekoran penahanan seorang pengarah syarikat bergelar Datuk berhubung siasatan projek pembangunan rangkaian fiber, minggu ini.
Tindakan dilakukan selepas wang diseleweng itu dikesan dilaburkan semula ke syarikat pelaburan tidak wujud dan pinjaman wang tidak berlesen.
Menurut sumber lapor Utusan, terdapat wang pinjaman RM400 juta yang diluluskan sebuah bank pada 2012 didakwa disembunyikan di akaun pesisir pantai beberapa negara sebelum dilaburkan semula bagi mewujudkan syarikat penipuan pelaburan.
“Pengarah syarikat terbabit didakwa mewujudkan syarikat penipuan pelaburan dengan mencari mangsa yang ingin melabur termasuk golongan kenamaan untuk diperdaya.
“Syarikat pelaburan itu mula diwujudkan sekitar 2018 selepas projek awal berkaitan fiber optik tidak dijalankan menggunakan wang yang diseleweng hasil pinjaman daripada bank terbabit,” lapor akhbar itu.
Sebelum ini, pengarah syarikat itu dikatakan membuat pinjaman RM400 juta untuk projek pembangunan rangkaian gentian optik bernilai lebih RM23 bilion pada 2012 dan kononnya bakal menghubungkan Asia Tenggara dengan 30,000 kilometer gentian optik, namun sehingga kini tidak berjalan.
Penyelewengan itu terbongkar selepas institusi kewangan pembangunan (DFI) memfailkan saman terhadap 27 defendan pada Mei 2012.
Dalam pada itu, sumber berkata, pengarah tersebut bukan sahaja mewujudkan syarikat pelaburan tidak wujud, malah turut menubuhkan entiti lain yang menawarkan pinjaman wang tidak berlesen.
“Siasatan juga mendapati pengarah syarikat turut memberi rasuah RM8 juta kepada Ketua Pegawai Eksekutif bank bagi meluluskan pinjaman RM400 juta walaupun syarikatnya itu tidak memenuhi syarat.
“Siasatan kini tertumpu pada tiga skop iaitu penggubahan wang haram hasil pinjaman yang tidak dibayar semula, skim pelaburan tidak wujud dan hasilnya disembunyikan di akaun luar pesisir pantai dan penawaran pinjaman tidak berlesen,” katanya.
Sumber berkata, SPRM juga sedang mengesan semula aliran wang terbabit termasuk lapisan proksinya dan wang rasuah diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif bank.
“Lebih ramai saksi orang awam dan beberapa individu lain akan dipanggil SPRM bagi membantu siasatan,” katanya.
Semalam, SPRM menahan reman seorang lelaki bergelar Datuk berusia 50-an untuk membantu siasatan kes pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta susulan Op Fibre dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK), SPRM.
Pada 30 Jun lalu, SPRM menggeledah empat lokasi berbeza termasuk kediaman dan pejabat suspek sekitar Selangor dan Kuala Lumpur serta membekukan 12 akaun bank termasuk milik persendirian dan syarikat bernilai kira-kira RM400,000.
Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan tangkapan dan siasatan mengikut kesalahan-kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.