KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kira-kira 100 ke 150 warga Bangladesh berada dalam kumpulan sembang WhatsApp yang dipercayai dicipta khusus bagi menyebarkan ideologi dan propaganda ekstremis.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, perkara itu terbongkar hasil siasatan dilakukan pihaknya susulan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terbabit secara aktif dalam kumpulan militan radikal asing yang berpangkalan di negara ini.
Malah, beliau mengesahkan 36 yang ditahan pihaknya itu turut menganggotai kumpulan WhatsApp sama, yang antara lain bertujuan untuk merekrut ahli dipercayai bagi mengumpul dana untuk disalurkan bagi kegiatan ekstremis Islamic State (IS) di Syria dan Bangladesh.
“Memang terdapat sejumlah wang dihantar ke negara asal untuk tujuan yang saya katakan tadi.”Kita masih lagi dalam siasatan, kita tidak boleh mendedahkan jumlah dana yang dikumpul kerana peringkat ini berada di mahkamah.
“Nama-nama individu, latar belakang keluarga dan sebagainya tidak boleh didedahkan, kita masih lagi memerlukan masa untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut,” katanya pada sidang media lapor BH pada Jumaat.
Sebelum ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan PDRM menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terbabit secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.
Penahanan dibuat menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lalu, membabitkan lima individu yang sudah didakwa di mahkamah, 15 diusir pulang, manakala 16 lagi masih disiasat berhubung pembabitan mereka dalam gerakan berkenaan.
Dalam pada itu, Khalid mengesahkan kumpulan militan yang bergiat sejak setahun lalu itu merekrut ahli dalam kalangan warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia termasuk di sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan stesen minyak, dengan bayaran keahlian tahunan RM500 dikenakan bagi membiayai aktiviti berkaitan gerakan ekstremis.
Sementara sumbangan tambahan daripada ahli bergantung kepada kemampuan masing-masing.
Tambah beliau, kumpulan ini didalangi Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang menyebarkan fahaman ekstremis dan propaganda IS menerusi media sosial serta aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.
“Antara modus operandi kumpulan ini termasuk proses ‘baiah’ secara dalam talian, pengwujudan sel baharu, serta kutipan dana yang disalurkan ke Syria dan Bangladesh menggunakan platform digital seperti Touch ‘n Go dan bKash,” katanya.
“Siasatan setakat ini menunjukkan sejumlah wang sudah dihantar ke luar negara bagi menyokong gerakan keganasan, namun jumlah keseluruhan masih dalam siasatan,” katanya.
Khalid berkata PDRM menjalin kerjasama rapat dengan pihak berkuasa Bangladesh serta Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mendapatkan maklumat tambahan untuk mengenal pasti jaringan lebih luas kumpulan berkenaan.
“Setakat ini, kita sedang berusaha mengumpul maklumat lanjut daripada negara berkaitan dan dengan bantuan rakan strategik luar negara, terutama Bangladesh serta pihak INTERPOL bagi memastikan rangkaian kumpulan ini dapat dikesan sepenuhnya,” katanya.
Khalid berkata, operasi tangkapan ini adalah usaha berterusan PDRM untuk memastikan Malaysia tidak dijadikan platform atau tapak subversif oleh elemen radikal, terutamanya yang membabitkan warga negara asing yang menyusup ke dalam komuniti migran dan masyarakat umum bagi menyebarkan fahaman ekstremis.