KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat sejak setahun lalu dan telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor kira-kira dua minggu lalu.
Menurutnya, faktor usia menjadi pertimbangan utama kerana beliau kini berusia 69 tahun dan akan mencecah 74 tahun sekiranya terus berkhidmat untuk penggal akan datang.
“Pada saya tidak sesuai di usia tersebut mahu bertanding lagi di kerusi DUN.
“Onn Hafiz wajar diberi peluang memimpin barisan muda bertanding dan memimpin kerajaan negeri. Sepatutnya yang berusia 50 tahun ke bawah sahaja yang wajar bertanding di kerusi DUN,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa cadangan mengenai ciri-ciri pelapis telah dikemukakan untuk dipertimbangkan, termasuk calon yang berkelulusan, berakhlak, komited kepada perjuangan dan memahami hala tuju bangsa.
Beliau turut berharap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerima serta melaksanakan cadangan tersebut.
Dalam masa sama, beliau berkata akan menyelesaikan beberapa tugasan penting sebelum hari penamaan calon.
“Selama empat tahun lebih saya menjadi YB yang duduk di kawasan. Saya mengenali hati nurani rakyat Rengit,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Rengit, penjawat awam, ketua-ketua kampung serta masyarakat Cina atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Selain itu, beliau turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikannya sebagai Speaker DUN Johor.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas nasihat dan bimbingan supaya persidangan DUN Johor berjalan tertib dan lancar. – SUARATV



