Ramalan El Nino hingga awal 2027 meletakkan rizab air, kesihatan awam dan ekonomi utama negara dalam keadaan berisiko tinggi – Arthur

KUALA LUMPUR – Malaysia kini berdepan ancaman fizikal perubahan iklim yang semakin meruncing susulan fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga awal 2027, meletakkan rizab air, kesihatan awam dan sektor ekonomi utama negara dalam keadaan berisiko tinggi.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, ramalan cuaca ekstrem itu bakal menyaksikan penurunan kadar taburan hujan antara 40 hingga 60 peratus di beberapa kawasan seluruh negara.

Beliau berkata, kesan nyata perubahan iklim bukan lagi ancaman masa hadapan, sebaliknya sudah pun berlaku di dalam negara bersandarkan siri bencana banjir besar, hakisan pantai dan gelombang haba ekstrem yang pernah mencecah suhu 37.5 darjah Celsius baru-baru ini.

“Ketegangan iklim berkenaan secara langsung memberi kesan mendalam kepada industri kritikal negara, bermula daripada hab pusat data serantau yang berintensiti tenaga tinggi hinggalah kepada sektor agrokomoditi utama seperti ladang kelapa sawit dan sawah padi.

“Masyarakat dan industri perlu mengikis stigma lapuk kononnya peralihan hijau ini adalah satu beban kewangan atau kos tambahan. Ia bukan perbelanjaan, sebaliknya pelaburan kritikal demi bandar yang lebih hijau, masyarakat sihat serta kelebihan daya saing buat ekonomi berorientasikan eksport kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program “Weave the Future – ASEAN Youth Climate Action 2026” lapor BH pada Khamis.

Arthur berkata, daripada perspektif geopolitik dan rantaian bekalan dunia, peralihan kepada tenaga hijau kini menjadi agenda utama keselamatan negara bagi mengurangkan kebergantungan mutlak terhadap bahan api fosil yang tidak menentu.

“Sebagai langkah penampan strategik, Malaysia giat mempercepatkan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) selain memimpin usaha pembentukan Grid Kuasa ASEAN (APG) demi kestabilan tenaga rentas sempadan.

“Di peringkat antarabangsa, Malaysia memanfaatkan status negara ‘megadiverse’ (kepelbagaian biologi tinggi) untuk menuntut pembiayaan iklim yang adil daripada negara maju, di samping mendesak penguatkuasaan perjanjian plastik global,” katanya.

Tambah beliau, golongan belia ASEAN wajar untuk bangkit sebagai ‘Wira Alam’ (Eco-Heroes) dan tidak sekadar menjadi pemerhati pasif dalam isu perubahan iklim.

“Kerajaan tidak mampu menggalas peralihan struktur ini bersendirian. Segala dasar, cukai karbon dan grid kuasa tidak membawa makna tanpa modal insan yang mempunya kepakaran hibrid berasaskan kelestarian.

“Memetik kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, kita adalah generasi pertama yang merasai impak perubahan iklim dan generasi terakhir yang mampu melakukan sesuatu mengenainya. Tanggungjawab inilah yang perlu dipikul oleh anak muda hari ini,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat