KUALA LUMPUR, – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka tidak akan mengemukakan sebarang rayuan terhadap penggantungan keahliannya dalam UMNO selama enam tahun, meskipun disaran oleh beberapa pemimpin parti untuk berbuat demikian.
Isu ini kembali mendapat perhatian selepas UMNO Bahagian Sembrong meluluskan usul agar penggantungan beliau ditarik balik satu langkah yang kemudiannya disokong secara terbuka oleh UMNO Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut menyatakan komitmen untuk membawa usul tersebut ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Pemuda UMNO Johor pula menyifatkan penggantungan itu sebagai satu kerugian besar kepada parti dari segi pengalaman dan kekuatan kepimpinan.
Namun bagi mereka yang mengenali Hishammuddin secara dekat, pendirian beliau sudah lama jelas beliau tidak akan merayu, bukan kerana ego, tetapi kerana prinsip.
“No way Hisham akan merayu. Ini bukan soal ego. Ini soal prinsip. Beliau digantung tanpa pertuduhan dan tanpa peluang membela diri. Malah Anwar pun pernah diberi ruang membela diri di hadapan MKT sebelum dipecat,” ujar seorang bekas pemimpin kanan yang pernah bersama pasukan Hishammuddin.
Bagi Hishammuddin, penggantungan tersebut adalah tindakan tergesa-gesa dan tidak adil. Beliau berulang kali menegaskan bahawa sehingga ke hari ini, beliau tidak pernah dimaklumkan tentang kesalahan spesifik yang menyebabkan penggantungannya.
Lebih mengejutkan, menurutnya, keputusan MKT itu tidak pernah melalui Lembaga Disiplin UMNO satu kelaziman dalam mana-mana proses keadilan organisasi.
“Kalau saya rayu, itu seolah-olah saya mengaku bersalah. Sedangkan saya sendiri pun tak tahu apa kesalahan saya. Mana surat? Mana sebab? Mana proses?” ujarnya dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama jentera Parlimen Sembrong tahun lalu.
Justeru, bagi beliau, mengemukakan rayuan bukan sahaja tidak logik, malah akan mencemarkan maruah dan pendiriannya terhadap keadilan.
Seorang Ketua UMNO Bahagian di Johor yang menyokong usaha membawa Hishammuddin kembali berpendapat,
“Jika UMNO benar-benar mahu beliau kembali, jalan terbaik ialah melalui proses mediasi melibatkan pemimpin kanan parti. Semua pihak perlu merendah diri dan duduk semeja.”
Susur galur keluarga Hishammuddin juga memperkukuh imej beliau sebagai pemimpin yang tegas berpegang pada prinsip. Datuknya, Datuk Onn Jaafar, meninggalkan UMNO apabila gagasan membuka parti kepada bukan Melayu ditolak. Manakala bapanya, Tun Hussein Onn, berundur secara terhormat daripada jawatan Perdana Menteri ketika berada di puncak kuasa.
Maka tidak menghairankan jika Hishammuddin memilih jalan yang sama mempertahankan maruah dan prinsip, walaupun dalam keadaan dipinggirkan.
“Saya digantung tanpa diberi peluang membela diri. Dan sekarang saya pula yang disuruh rayu. Apa makna keadilan dalam parti ini kalau begitu caranya?” tegasnya dalam satu forum tertutup yang turut dihadiri beberapa bekas pemimpin muda UMNO.
Hakikatnya, segala desakan, usul, dan simpati akar umbi datang dari luar bukan permintaan daripada beliau sendiri.
Dengan rekod ketegasan dan pendirian konsisten ini, tidak keterlaluan untuk menyimpulkan bahawa peluang Hishammuddin untuk membuat rayuan adalah hampir mustahil jika tidak mustahil sepenuhnya. -SuaraTV