PAS pilih putus hubungan dengan BERSATU, bukan dipaksa – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa PAS sengaja memilih untuk memutuskan hubungan politik dengan BERSATU dan bukannya dipaksa membuat pilihan seperti yang digambarkan oleh Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Annuar Musa.

Menurut beliau, kenyataan Annuar yang mendakwa PAS terpaksa memilih antara dua kem dalam BERSATU adalah mengelirukan dan tidak bersandarkan kepada fakta sebenar.

Tun Faisal mempersoalkan siapa sebenarnya yang memaksa PAS membuat pilihan tersebut.

“Siapa yang memaksa PAS membuat pilihan? Hamzah Zainuddin, Ahmad Zahid Hamidi atau Anwar Ibrahim?” soalnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.

Beliau turut menegaskan bahawa tidak wujud apa yang disebut sebagai “BERSATU kem Hamzah” kerana Hamzah Zainudin bukan lagi ahli BERSATU, manakala penyokongnya didakwa kini berada di luar parti.

Tun Faisal mendakwa kemelut yang berlaku bermula daripada campur tangan PAS dalam urusan dalaman BERSATU, termasuk dakwaan sokongan terbuka terhadap Hamzah sebagai calon Perdana Menteri pilihan PAS walaupun ketika itu Muhyiddin Yassin masih memimpin parti.

Beliau juga mendakwa PAS telah melanggar semangat setiakawan dan perlembagaan PN apabila terus memberi sokongan kepada individu yang bukan lagi ahli BERSATU dan bukan ahli PN.

“Sepatutnya PAS mengutamakan usaha mengukuhkan PN bersama parti-parti komponen yang berada dalam gabungan itu, bukannya menyebelahi pihak yang berada di luar PN,” katanya.

Tun Faisal turut mendakwa PAS telah mengadakan beberapa rundingan politik dengan Hamzah dan pihak di luar PN tanpa membentangkannya dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Antara yang disebut beliau ialah dakwaan berhubung “Langkah Bangkok” dan cadangan Muafakat Nasional 2.0 yang menurutnya tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui dalam platform rasmi PN.

Selain itu, beliau mendakwa tindakan PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU ketika persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sedang giat dijalankan telah menjejaskan persiapan gabungan tersebut.

Menurutnya, kegagalan mesyuarat penting PN seperti mesyuarat rundingan kerusi, persiapan pilihan raya dan jawatankuasa “electoral pact” diadakan telah menimbulkan persoalan mengenai komitmen PAS terhadap gabungan berkenaan.

Tun Faisal turut menolak alasan PAS yang mengaitkan keputusan memutuskan hubungan dengan BERSATU dengan beberapa isu termasuk di Perlis, Negeri Sembilan dan penolakan kemasukan parti-parti tertentu ke dalam PN.

Beliau mendakwa alasan tersebut tidak berasas dan hanya bertujuan mewajarkan tindakan PAS.

“Tidak wajar menggambarkan seolah-olah PAS tiada pilihan. Sebenarnya PAS yang memilih untuk memutuskan hubungan dan membuat onar ketika hampir dengan tempoh PRN.

“Jangan menipu dan kata tindakan PAS ini adalah demi penyatuan ummah atau demi kepentingan PN,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat