Rombakan jawatan PN di larut malam, Radzi Jidin dan Azmin Ali digugurkan

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran gabungan itu yang menyaksikan dua tokoh kanan, Datuk Seri Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, digugurkan daripada jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan lewat malam tadi, Samsuri berkata keputusan tersebut dibuat bagi memperkukuh persiapan PN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, tindakan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan Perikatan Nasional.

Antara perubahan utama yang diumumkan ialah pemberhentian Radzi sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan pelantikan Muhammad Sanusi Md Nor sebagai penggantinya.

Pada masa sama, Sanusi turut dilepaskan daripada jawatan Bendahari PN, dengan kedudukan itu kini diisi oleh Subramaniam Surunaryan.

Sementara itu, Azmin yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung PN turut diberhentikan perkhidmatan.

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci sebab penamatan perkhidmatan Radzi dan Azmin, selain menyebut bahawa pemberhentian Azmin dibuat bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Perikatan Nasional.

Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi episod penting dalam pergolakan dalaman PN yang kebelakangan ini berdepan beberapa perubahan kepimpinan dan perbezaan pandangan melibatkan parti-parti komponen gabungan tersebut.

Samsuri turut memaklumkan bahawa satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi gabungan berkenaan menjelang kempen pilihan raya negeri.

Pengumuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas kontroversi mengenai jawatan Ketua Pembangkang yang menyaksikan keputusan awal Majlis Tertinggi PN menamakan Ahmad Samsuri Mokhtar digantikan semula dengan Hamzah Zainudin selepas campur tangan kepimpinan tertinggi PAS.

Penstrukturan semula terbaharu ini dijangka mencetuskan pelbagai persoalan mengenai hala tuju dan keseimbangan kuasa dalam PN menjelang dua pilihan raya negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat