CYBERJAYA 8 Jun – Aktivis dan artis satira politik, Fahmi Reza hari ini mengumumkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia selepas mendakwa dirinya disekat daripada meninggalkan negara semalam.
Dalam satu kenyataan lantang yang dimuat naik di laman Facebook beliau, Fahmi mempersoalkan sikap kerajaan yang tidak mengambil tanggungjawab berhubung insiden tersebut. Beliau membidas kenyataan berbelit pihak-pihak berkuasa termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang masing-masing menuding jari kepada agensi lain.
“Aku tak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani ambik tanggung jawab atas kesilapan korang yang menyebabkan hak kebebasan bergerak aku disekat,” tulis beliau.
Menurut polis, tiada sekatan rasmi dikeluarkan terhadap Fahmi, manakala pihak imigresen menyatakan bahawa berlaku “kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara”.
Namun, Fahmi menegaskan bahawa walaupun tiada sekatan “rasmi” dicatatkan, hakikatnya beliau tetap disekat dan dinafikan hak kebebasan bergeraknya sebagai warganegara.
“Aku hanya rakyat biasa. Korang dah sekat, susahkan, dan rugikan masa dan duit aku, tapi kemudian cuci tangan, tak nak mengaku salah,” tambahnya.
Fahmi turut mengingatkan bahawa kerajaan bukan entiti kebal undang-undang, dan rakyat mempunyai hak untuk mencabar kuasa melalui saluran perundangan.
“Kalau rakyat buat salah, korang tak tunggu lama untuk heret kami ke mahkamah. Kali ni, giliran rakyat pula untuk heret pihak berkuasa ke mahkamah.”